Samadi Ahmad


AHLI Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyambut baik langkah Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang meluluskan usul mendesak Kerajaan Persekutuan menggubal Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti.

Khairy berkata, bagaimanapun sebelum Akta Anti Lompat Parti itu digubal, undang-undang itu perlu dipastikan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak timbul soal bercanggah dengan kebebasan berpersatuan.

Menurutnya, beliau secara peribadi merasa undang-undang itu adalah baik sekiranya percanggahan perundangan itu tidak timbul atau dapat diselaraskan.

"Akta Anti Lompat Parti boleh diperkenalkan dengan syarat Akta Pilihan Raya juga dipinda sekali bagi memberi kelonggaran kepada wakil rakyat sekiranya dia tidak lagi bersetuju dengan parti dianggotainya sebelum ini dan boleh meletak jawatan serta bertanding sebagai calon Bebas," katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Venturetech, Duopharma Biotech dan Pangen Biotech di Putrajaya hari ini.

KHAIRY pada sidang media selepas menyaksikan Majlis MoU di Putrajaya hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
KHAIRY pada sidang media selepas menyaksikan Majlis MoU di Putrajaya hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir

Semalam media melaporkan, DUN Selangor meluluskan usul bagi mendesak serta menggesa Parlimen untuk menggubal Rang Undang-Undang bagi menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atau Ahli Parlimen daripada lompat parti tanpa alasan munasabah.

Speaker DUN Ng Suee Lim berkata, menerusi usul berkenaan, dewan bersetuju sekiranya sesiapa dalam kalangan Adun yang melompat parti, perlu mengosongkan kerusi untuk mempertahankan mandat rakyat yang memilih mereka.

Usul berkenaan dibawa Adun Bukit Gasing R Rajiv (DAP) yang pada awalnya mendapat bantahan kerana DUN tidak mempunyai hak menggubal undang-undang.

Khairy yang juga Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi berkata, pada ketika ini, sekiranya mana-mana wakil rakyat meletakkan jawatan sama ada sebagai Ahli Parlimen atau Adun, mereka akan dikenakan penalti dan tidak dibenarkan bertanding selama lima tahun.

"Undang-undang pilihan raya sedia ada, sekiranya individu meletak jawatan sebagai wakil rakyat, pindaan yang dibuat tidak membenarkan bertanding dalam tempoh lima tahun.

"Suatu ketika dulu Tan Sri Shahrir Samad yang meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen yang mewakili Umno dan pada waktu itu pindaan belum lagi dibuat kepada Akta Pilihan Raya.

"Beliau bertanding sebagai wakil Bebas dan menang dalam pilihan raya itu " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 8:44 PM