PENGERUSI Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman (tiga dari kiri) bertanya sesuatu kepada Syazwani (tiga dari kanan) dan Muhammad Akmal sambil diperhatikan Farihah (kanan). FOTO Rozainah Zakaria.
PENGERUSI Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman (tiga dari kiri) bertanya sesuatu kepada Syazwani (tiga dari kanan) dan Muhammad Akmal sambil diperhatikan Farihah (kanan). FOTO Rozainah Zakaria.
Zaid Salim


“KEJADIAN berlaku sekelip mata, tetapi saya sedar tugas dan tanggungjawab besar perlu dipikul bagi mengganti tugas abah dan ibu menjaga, membesar serta mendidik adik sebaik mungkin.

“Kami bersyukur dengan bantuan diberikan pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu, sekali gus meringankan beban datuk dan nenek yang menjaga kami selepas kehilangan kedua orang tua,” kata Nur Syazwani Mohd Hanafi, 17.

Anak sulung daripada dua beradik itu terharu dengan keprihatinan dan bantuan diberikan PERKESO yang sangat bermakna buat dirinya dan adik, Muhammad Akmal, 12.

Dua beradik yang bersekolah di Sekolah Menengah Agama Khairiah, Kuala Terengganu dan Sekolah Kebangsaan Bukit Tumboh, Kuala Nerus itu adalah anak kepada suami isteri, Mohd Hanafi Ismail, 37, dan Salimah Mohd Shafie, 40, yang maut selepas motosikal berkuasa tinggi dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Kota Tinggi menghala ke Mersing dekat Jemaluang, pada 8 malam Jumaat lalu.

Kejadian berlaku ketika pasangan terbabit berkonvoi bersama 20 motosikal berkuasa tinggi untuk menyertai Desaru International Bike Week (DIBW) 2019 yang berlangsung di Desaru bermula Sabtu hingga Isnin lalu.

Menurut Nur Syazwani, dia mengakui buntu dan berasa kehidupan mereka dua beradik gelap selepas ketiadaan kedua ibu bapa dalam sekelip mata.

“Alhamdulillah, kami masih mempunyai datuk dan nenek serta bapa saudara yang sangat menyayangi dan mengambil berat, tetapi kami tidak mahu membebankan mereka.

“Menerusi wang Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM4,000 daripada PERKESO dan Faedah Pencen Penakat yang akan diberikan kami secara tidak langsung meringankan beban saudara-mara khususnya datuk dan nenek yang menjaga kami selepas ketiadaan abah dan ibu,” katanya.

Dua beradik terbabit ditemui selepas hadir bersama datuk mereka, Mohd Shafie Mohamad, 72, pada Majlis Penyerahan Faedah Pengurusan Jenazah disampaikan Pengarah PERKESO Terengganu, Farihah Che Husin di Sekolah Menengah Agama Khairiah, hari ini.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, dia bersyukur dengan bantuan daripada PERKESO yang turut menjadikan dua cucunya sebagai anak angkat agensi berkenaan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada PERKESO.

“Bantuan ini bukan saja meringankan beban kami, malah memberi semangat kepada Nur Syazwani dan Muhammad Akmal belajar sehingga mencapai peringkat tertinggi sebagaimana pernah disuarakan kepada arwah abah dan ibu mereka,” katanya.

Sementara itu Farihah berkata, Faedah Pencen Penakat akan diberikan kepada dua beradik terbabit setiap bulan sehingga mereka berumur 21 tahun.

Katanya, Nur Syazwani dan Muhammad Akmal akan dijadikan sebagai Anak Angkat PERKESO Terengganu dan sehingga kini pihaknya sudah memiliki lima anak angkat.

Berita berkaitan

'Janji dibawa ke mati'

'Suami isteri maut motosikal bertembung kereta'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 10:32 PM