ANTARA video tular beberapa individu dan keluarga mendakwa dan mempercayai Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan
ANTARA video tular beberapa individu dan keluarga mendakwa dan mempercayai Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan
Muhaamad Hafis Nawawi dan Muhammad Saufi Hassan dan Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau saki baki pengikut ajaran sesat, SiHulk yang masih berada di dalam negara ini bagi membendung penyebaran ajaran itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM sentiasa membuat pemantauan berkaitan ajaran itu yang menyimpang dari ajaran Islam bagi mengelak indisen tidak diingini.

"Malah jika ada elemen yang boleh menggugat keselamatan negara dengan penyebaran ajaran terbabit, tindakan akan diambil ke atas pengikut terbabit," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya akan terus membuat pemantauan dan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berhubung isu berkenaan.

"Semalam pun kita ada mesyuarat bersama JAINJ membincangkan berkaitan perkara ini bagi mengelak ia menular.

"Saya nasihatkan kepada orang ramai jangan terpengaruh dengan ajaran itu kerana jelas ia sudah terpesong dari ajaran Islam yang sebenarnya," katanya.

Setakat ini dianggarkan lebih 50 pengikut ajaran sesat, SiHulk sedang menunggu untuk 'berhijrah' ke New Zealand serta mendapatkan suaka di negara berkenaan.

Mereka hanya menunggu masa dan keadaan yang sesuai untuk bersama-sama dengan 150 pengikut ajaran terbabit yang sudah berada di negara berkenaan bersama-sama dengan ketua ajaran itu, Suhaini Muhammad.

Malah Suhaini menerusi akaun Facebooknya turut mengarahkan pengikutnya yang gagal 'berhijrah' supaya merahsiakan status mereka dengan menyamar bagi menyelamatkan diri mereka daripada ditahan.

Terbaru, menerusi beberapa keping gambar dan video, Suhaini turut menunjukkan anak-anak pengikut SiHulk sudah memulakan sesi persekolahan di negara terbabit dengan mendakwa lebih selamat.

Terdahulu, Harian Metro mendedahkan dianggarkan 150 pengikut ajaran sesat, SiHulk kini berada di New Zealand bersama-sama dengan ketua ajaran itu, Suhaini Muhammad.

Sumber keselamatan bagaimanapun memaklumkan, jumlah sebenar pengikut ajaran itu yang masih berada di negara ini tidak diketahui.

Antara penyelewengan ajaran sesat itu ialah mendakwa Nabi Muhammad SAW sebagai Tuhan.

Selain itu, mereka mendakwa Nabi Muhammad SAW tidak mempunyai jantina, menafsir sendiri sebuah hadis dengan menyatakan baginda tiada kemaluan dan sebagainya.

Malah mereka kini dipercayai cuba mendapatkan permohonan suaka dari kerajaan di sana dengan menggunakan alasan diancam rakyat di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 10:39 AM