LELAKI maut dihempap kontena di Jalan Dato Yusof Shahbudin 29A, Taman Sri Sentosa, semalam.
LELAKI maut dihempap kontena di Jalan Dato Yusof Shahbudin 29A, Taman Sri Sentosa, semalam.
Norzamira Che Noh


Klang: Lelaki maut dihempap kontena di Jalan Dato Yusof Shahbudin 29A, Taman Sri Sentosa dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa berusia 40-an itu dipercayai dihempap kontena ketika cuba mengalih kenderaan Perodua Kancil yang diparkir bersebelahan kontena berkenaan.

Katanya, kontena sepanjang 12.19 meter tanpa kepala lori itu diletakkan di hadapan kedai bagi kerja pemunggahan barang.

"Difahamkan mangsa meletakkan kenderaannya di sebelah kontena itu membeli makanan di kedai berdekatan.

"Selang beberapa minit, mangsa mendapati kontena itu sedikit condong dipercayai akibat tanah mendap serta jerlus dan mangsa terus ke kereta untuk mengalihnya.

"Pada masa sama, kontena berkenaan terbalik dan menghempap lelaki itu serta keretanya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat sebagai mati mengejut dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di 03-33762222 atau balai polis yang berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 8:31 PM