Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Sebuah kedai emas di Taman Perdagangan Tanjung, Tanjung Rambutan, di sini, dipecah masuk tengah malam tadi menyebabkan pemiliknya kerugian kira-kira RM1 juta.

Kejadian itu hanya disedari pemilik premis berusia 40-an itu selepas dimaklumkan oleh tiga pekerjanya sebaik mahu membuka premis itu pada kira-kira jam 10 pagi tadi.

Dua pekerja kedai itu yang hanya mahu dikenali sebagai Fika, 22, dan Nina, 26, berkata mereka terhidu bau seakan besi dibakar selain bau tengik dan melihat keadaan penggera kedai dalam keadaan mencurigakan apabila terjatuh ke lantai sejurus membuka pintu utama premis.

"Pada jam 10 pagi ketika kami mengangkat 'shutter' (pintu), kami dapati penggera tidak berbunyi seperti kebiasaan sebelum melihat ia tercabut jatuh yang pada mulanya kami sangkakan rosak. Begitu juga terdapat satu pintu lain di bahagian depan premis terkunci dari dalam walaupun biasanya ia boleh dibuka menggunakan kunci dari luar.

"Kami kemudiannya bergegas ke bahagian belakang sebelum mendapati terdapat kesan kerosakan serta kesan umpilan pada pintu belakang kedai yang diperbuat dari besi sebelum mendapati banyak barangan kemas yang berada di ruang pameran serta peti besi hilang sebaik diperiksa," katanya ketika ditemui hari ini.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati rata-rata premis berdekatan tempat kejadian dipasang dengan kamera litar tertutup (CCTV) termasuk di bahagian belakang premis namun CCTV di premis kedai emas itu didapati turut dirosakkan.

Katanya, pihaknya juga difahamkan ini adalah kali pertama kejadian pecah masuk itu berlaku sepanjang empat tahun perniagaan kedai emas yang ketika ini mempunyai seramai empat pekerja itu dan beroperasi setiap hari antara jam 10 pagi hingga 6 petang dibuka sejak 2019.

Seorang peniaga berdekatan premis itu ketika ditemui berkata, selain kedai emas berkenaan, terdapat beberapa lagi premis yang sederet dengan kedai emas itu termasuk sebuah kedai perkakasan hardware terkemuka turut pernah dipecah masuk.

Bagaimanapun, polis ketika ditemui di tempat kejadian ketika menjalankan siasatan kes pecah masuk itu, memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 4:17 PM
POLIS menjalankan siasatan di kedai emas yang dipecah masuk hingga menyebabkan kerugian RM1 juta. FOTO L MANIMARAN
POLIS menjalankan siasatan di kedai emas yang dipecah masuk hingga menyebabkan kerugian RM1 juta. FOTO L MANIMARAN