GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Johor Bahru: Taktik seorang penjenayah membakar mercun untuk mengalihkan perhatian orang ramai sebelum cuba menyamun kedai emas di sebuah pasar raya di Taman Mutiara Rini, Skudai, dekat sini, malam tadi, gagal apabila ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, lelaki tempatan berusia 33 tahun itu ditahan di tempat kejadian selepas polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada 10 malam tadi.

"Hasil siasatan awal, lelaki berkenaan yang tidak bersenjata membakar mercun di ruang tengah pasar raya, sebelum meluru masuk pintu hadapan kedai ketika pintu shutter premis sedang ditutup separuh. Dia kemudian terus ke tempat peti besi di belakang premis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulkhairi berkata, lelaki berkenaan turut menumbuk pengurus wanita kedai berkenaan menyebabkan mangsa cedera di pipi kiri.

Polis turut merampas topeng muka, pemetik api, sepasang sarung tangan dan mercun.

Beliau berkata, lelaki berkenaan didapati mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan enam kes jenayah samun dan satu kes curi kenderaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan permohonan reman ke atas lelaki berkenaan akan dibuat hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 11:23 AM