JOHARI Tun Openg, dan kenamaan lain menyaksikan Acara perbarisan oleh Kontinjen yang mengambil bahagian sempena sambutan Hari Sarawak Merdeka ke 60 tahun di Padang Merdeka. FOTO Nadim Bokhari
JOHARI Tun Openg, dan kenamaan lain menyaksikan Acara perbarisan oleh Kontinjen yang mengambil bahagian sempena sambutan Hari Sarawak Merdeka ke 60 tahun di Padang Merdeka. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Selepas enam tahun pemergiannya, aura Allahyarham Tan Sri Adenan Satem masih cukup kuat dalam kalangan rakyat Sarawak.

Setiap kali nama beliau disebut Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg, dalam ucapan pada Perhimpunan dan Perarakan Sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka hari ini, orang ramai menyambutnya dengan sorakan.

Abang Johari berkata, kejayaan Sarawak mendapatkan semula beberapa hak yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah hasil usaha yang dirintis oleh Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Tok Nan dalam kalangan pemimpin dan rakyat Sarawak.

"Allahyarham memulakan inisiatif untuk mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis ketika beliau memegang tampuk kepimpinan Kerajaan Sarawak.

"Seluruh rakyat Sarawak menyanjungi perjuangan yang dimulakan oleh beliau untuk mengangkat maruah dan martabat Sarawak Ibu Pertiwi kita sebagai sebahagian daripada wilayah yang menubuhkan Malaysia. Terima kasih Tok Nan," katanya.

Sambutan Jubli Intan Sarawak Merdeka di Padang Merdeka hari ini berlangsung penuh meriah, berwarna warni dan dengan semangat patriotik apabila kira-kira 10,000 rakyat pelbagai kaum, termasuk pelancong, hadir menyaksikan upacara bersejarah itu.

Orang ramai mula membanjiri lokasi sambutan seawal jam 5 pagi termasuk ada yang membawa anak-anak kecil, mereka begitu ceria dan bersemangat mengibarkan bendera Sarawak.

Abang Johari dan isteri, Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang serta Speaker Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, tiba di Padang Merdeka pada jam 8.20 pagi sebelum acara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku.

Sambutan kemudian dimeriahkan lagi dengan perbarisan oleh 75 kontinjen yang terdiri daripada enam kontinjen khas, 60 kontinjen bertanding serta tujuh kontinjen pasukan keselamatan dan pertahanan awam.

Sarawak meraikan 22 Julai sebagai Hari Kemerdekaan sejak 2016 iaitu ketika era Tok Nan sebagai Ketua Menteri.

Tarikh itu terpahat dalam sejarah Sarawak kerana pada hari itu, kolonial British menyerahkan kuasa kepada rakyat Sarawak untuk mentadbir negeri ini.

Sarawak diperintah oleh keluarga Brooke selama 100 tahun iaitu mulai 1841 hingga 1941 sebelum dijajah Jepun.

Selepas pengunduran Jepun, mulai 1946 hingga 1963, Sarawak diletakkan di bawah pentadbiran British Crown Colony.

Dua bulan selepas mencapai kemerdekaan daripada British, Sarawak kemudiannya bersama Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Singapura membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 12:26 PM