Alias Abd Rani


Batu Pahat: "Kami dah tak larat nak pindah barang, ini bukan kali pertama rumah dinaiki air. Rasa penat ketika banjir besar Mac lalu pun belum hilang, hari ini kami sekali lagi diuji," kata Ayub Kasimin, 50, selepas rumahnya di Kampung Sungai Suloh, di sini, dinaiki air pagi tadi.

Menurutnya, rumahnya mula dimasuki air sejak jam 11 pagi tadi selepas hujan berterusan menyebabkan beberapa peralatan dalam rumah termasuk pakaian sekolah anaknya ditenggelami air banjir.

Katanya, ketika kejadian dia sedang bekerja sebagai nelayan sebelum menerima panggilan daripada ahli keluarga memaklumkan rumah sudah dimasuki air.

"Saya bergegas pulang ke rumah dan dengan bantuan isteri serta anak-anak, kami sempat memindahkan beberapa barangan penting ke tempat lebih selamat.

"Air mula naik pada jam 6 pagi tapi tidaklah seteruk mana tapi lima jam kemudian, air mula masuk dalam rumah dan sempat saya pulang selepas dimaklumkan mengenai perkara ini.

"Cuma baju dan buku sekolah anak yang diletakkan atas rak tidak sempat diselamatkan kerana situasi kelam-kabut memandangkan air masuk terlalu cepat," katanya ketika ditemui, hari ini.

Ayub berkata, sejak tinggal di kawasan itu kira-kira 20 tahun lalu, rumahnya antara yang kerap dimasuki air setiap kali hujan lebat.

Katanya, kadang-kala mereka sekeluarga tidak lena tidur jika hujan lebat berterusan kerana bimbang air akan memasuki rumah.

"Sudah banyak kali kami mengadu masalah ini kepada pihak berwajib tapi sehingga kini tiada tindakan diambil. Ketika banjir besar Mac lalu, habis semua peralatan dalam rumah dibuang kerana rosak teruk.

"Kami ketika itu sempat menyelamatkan barangan dalam rumah kerana ia berlaku begitu pantas. Hari ini sekali lagi banjir melanda namun kerosakan tidak seteruk banjir besar itu," katanya yang menetap bersama lima anak dan seorang cucu berusia lapan hingga 16 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 4:35 PM
Ayub Kasimin melihat rumahnya di Kampung Sungai Suloh, di sini, dinaiki air pagi tadi. FOTO Alias Abd Rani
Ayub Kasimin melihat rumahnya di Kampung Sungai Suloh, di sini, dinaiki air pagi tadi. FOTO Alias Abd Rani