Keadaan rumah mangsa banjir di Kampung Permatang Tok Suboh, Bukit Minyak, Bukit Mertajam. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Keadaan rumah mangsa banjir di Kampung Permatang Tok Suboh, Bukit Minyak, Bukit Mertajam. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Nur Izzati Mohamad


“MEMANG dah mangli (lali), kalau hujan lebat kami semua pakat berjaga untuk mengangkat barang,” kata Che Nan Amad, 63, penduduk Kampung Permatang Rawa, Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam yang rumahnya dilanda banjir kilat semalam.

Menurutnya, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana bekerja sebagai tukang cuci namun bergegas pulang selepas mendapat tahu rumahnya dimasuki air.

“Kalau hujan lebat, memang tau mesti air naik cepat dan kalau tak bersedia memang kita tak sempat buat apa-apa.

“Nasib baik saya sempat pulang dan angkat barang ke tempat lebih selamat,” katanya ditemui ketika sedang membersihkan rumah selepas air mula surut hari ini.

Warga emas itu berkata, dia berharap ada pihak dapat menyelesaikan masalah banjir di kampung mereka kerana sudah letih mencuci rumah sejak 20 tahun lalu apabila rumah dinaiki air akibat dilanda banjir kilat.

Dalam kejadian banjir kilat malam tadi, air naik cepat menyebabkan penduduk kelam kabut memindahkan barang ke tempat tinggi.

Mereka pada mulanya mengambil langkah berjaga-jaga apabila hujan sejak 2 petang semalam disusuli kali kedua 7 malam.

Bagaimanapun air mula memasuki rumah dan paras air meningkat hingga paha selepas hujan lebat 7 malam.

Sehingga kini, 105 mangsa daripada 27 keluarga masih berada di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

PPS Dewan Orang Ramai Bukit Teh dan Dewan Perda Timur yang sebelum ini menempatkan 33 orang daripada enam keluarga sudah ditutup dan semua mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 6:05 PM