Kamarudin menunjukkan rumah ditenggelami air akibat hujan lebat di Kampung Sungai Suloh. FOTO Alias Abd Rani
Kamarudin menunjukkan rumah ditenggelami air akibat hujan lebat di Kampung Sungai Suloh. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Batu Pahat: "Air naik mendadak, kami tak sempat menyelamatkan semua barangan dalam rumah," kata Kamarudin Palawar, 59, salah seorang daripada puluhan penduduk Kampung Sungai Suloh, dekat sini yang terjejas akibat banjir hari ini.

Rumah Kamarudin antara yang paling teruk dinaiki air hampir satu meter selain beberapa lagi rumah di sekitarnya serta Sekolah Agama Sungai Suloh yang terpaksa ditutup akibat dinaiki air.

Menurutnya, banjir kerap berlaku di kampung itu jika hujan lebat dan ini adalah yang ketujuh dalam tempoh kurang daripada tiga bulan.

"Pagi tadi hujan lebat dan sekitar jam 10 pagi dan apabila air memasuki rumah, saya dan isteri (Robiah Abd Ghani, 59) terus mengemas barang namun tidak sempat kerana air begitu laju.

"Keadaan bertambah buruk apabila benteng dibina untuk mengatasi banjir pecah menyebabkan lebih 20 buah rumah penduduk sekitarnya dimasuki air. Rumah saya antara yang paling teruk terjejas dalam kejadian ini," katanya ketika ditemui.

Katanya, dia dan isteri serta anak terpaksa bermalam di rumah adiknya tidak jauh dari situ.

Seorang lagi penduduk, Saodah Abdul Ghani, 38, berkata dia sekeluarga sudah penat berdepan dengan banjir setiap kali hujan lebat.

"Bayangkan setiap kali hujan, kami kena bersiap sedia termasuk memindahkan barangan dalam rumah ke tempat lebih tinggi.

"Sudah beberapa kali rumah dilanda banjir, kami tak tahu hendak buat macam mana lagi," keluhnya.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Suloh, Mohd Kamaruddin Shah Kamari berkata, masalah banjir di kampung itu seolah-olah tiada berkesudahan walaupun pelbagai aduan dibuat kepada pihak berkenaan.

Katanya, penduduk kampung terbabit sekali lagi berdepan masalah sama setiap kali berlaku hujan lebat.

"Apa yang dibimbangi penduduk seolah-olah tiada penghujungnya. Perkara ini sudah lama berlarutan malah kerisauan kami di sini ialah apabila hujan lebat.

"Inilah yang sering berlaku justeru kami berharap sangat pihak berkenaan mengambil tindakan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 5:05 PM