Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Sebanyak 219 kes kesalahan jenayah seksual membabitkan kanak-kanak dilaporkan berlaku di negeri ini sejak 1 Januari lalu hingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, daripada jumlah itu, 103 kes sudah didakwa di mahkamah, manakala selebihnya masih dalam siasatan.

"Kesalahan dilaporkan termasuklah rogol sebanyak 59 kes, sumbang mahram (20 kes), liwat (enam kes), penderaan (58 kes), buang bayi (tujuh kes) dan kesalahan seksual kanak-kanak (69 kes).

"Antara kes yang dilaporkan itu termasuk perlakuan sumbang mahram antara bapa terhadap anaknya serta jenayah rogol antara kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dengan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.

"Kita akui jumlah itu agak tinggi dan perkara itu memang membimbangkan, jadi tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pesalah yang melakukan jenayah berkenaan," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Kamarul Zaman mengingatkan masyarakat khususnya golongan ibu bapa untuk memantau penggunaan gajet atau telefon bimbit serta media sosial anak-anak supaya tidak disalah guna.

"Kita akan komited dalam memerangi kegiatan jenayah serta kita ingin menasihati orang ramai supaya sentiasa memantau pergerakan dan pergaulan anak-anak.

"Kita juga mengharapkan masyarakat turut sama membantu dengan memberi maklumat sekiranya berlaku insiden sebegini membabitkan kanak-kanak," katanya.

Pada masa sama, Kamarul Zaman berkata, seramai 43 kanak-kanak dilaporkan hilang di negeri ini dengan seramai 40 daripada mereka sudah ditemukan semula.

"Tiga lagi yang dilaporkan hilang di daerah Johor Bahru belum ditemui," katanya.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 9:35 PM