Ramli (tengah) pada sidang media di Kuantan. FOTO ASROL AWANG
Ramli (tengah) pada sidang media di Kuantan. FOTO ASROL AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Polis memandang serius peningkatan kes rogol di negeri itu apabila merekodkan sebanyak 94 kes dari 1 Januari hingga 31 Oktober lalu berbanding 84 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan statistik itu, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 10 kes atau 11.9 peratus.

Menurutnya, daripada 94 kes itu, sebanyak 69 kes membabitkan kes rogol perseorangan, 21 kes sumbang mahram dan empat kes pula membabitkan rogol berkumpulan.

Katanya, lebih membimbangkan sebanyak 89 kes rogol membabitkan golongan remaja berusia bawah 19 tahun.

"Berdasarkan siasatan mendapati kebanyakan kes berpunca daripada hubungan seks yang dilakukan secara sukarela bersama pasangan kekasih masing-masing.

"Sebahagian kes didapati kedua-dua mangsa dan pelaku juga saling mengenali kerana berkenalan di laman sosial seperti aplikasi Instagram, Facebook, WhatsApp dan saluran media lain.

"Kebanyakan kes yang dilaporkan juga didapati berlaku di rumah mangsa atau pelaku sendiri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Ramli berkata, kes rogol secara perseorangan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lapan hingga 30 tahun dan sebatan.

Katanya, kesalahan rogol berkumpulan pula disiasat mengikut Seksyen 375B kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara 10 hingga 30 tahun.

"Bagi kesalahan sumbang mahram pula disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 hingga 30 tahun dan sebatan.

"Kesalahan seksual terhadap kanak-kanak di bawah usia 18 tahun akan disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga dikenakan sebatan," katanya.

Menurutnya, bagi memastikan kes rogol ini tidak berleluasa, pelbagai usaha dan inisiatif dilakukan polis dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan badan bukan kerajaan (NGO) melalui kempen kesedaran jenayah dan ceramah.

"Namun, kita memerlukan peranan daripada ibu bapa sendiri bagi mengawal dan mengawasi tingkah laku anak masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 7:04 PM