Tuan Asri Tuan Hussein

KES 1

Lima lelaki yang memiliki pertalian keluarga didakwa di Mahkamah Majistret Limbang, Sarawak atas 22 tuduhan merogol seorang kanak-kanak bawah umur antara November tahun lalu hingga Jun lalu.

Mereka yang dituduh merogol mangsa berusia 12 tahun itu terdiri daripada datuk mangsa berusia 72 tahun, ayah mangsa berusia 40 tahun dan tiga sepupu mangsa berusia antara 16 hingga 21 tahun.

Bapa mangsa dituduh merogol mangsa sebanyak empat kali manakala tertuduh kedua dan ketiga yang juga sepupu mangsa, masing-masing dituduh merogol mangsa sebanyak tiga kali dan empat kali.

KES 2

Remaja lelaki berusia 18 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani, hari ini, atas empat pertuduhan merogol dan mencabul tiga adik perempuannya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol adiknya berusia lapan tahun di sebuah rumah pada jam 8 malam, 19 Julai lalu, merogol adiknya berusia 14 tahun pada 21 April lalu dan mencabul adiknya berusia 10 tahun pada 14 Julai lalu.

KES 3

Seorang penjaga kolam udang mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan liwat dan seks luar tabii ke atas dua anak tiri lelakinya berusia 11 dan tujuh tahun.

Tertuduh berusia 24 tahun yang seminggu sebelum itu mengaku bersalah, menukar pengakuannya kepada tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibaca semula di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Kamarudin Kamsun, kelmarin.

Bagaimana perasaan dan apa yang terlintas di fikiran anda apabila membaca tiga kejadian jenayah seksual di atas? Tiga ringkasan berita itu saya petik daripada laporan media sepanjang seminggu lalu.

Jika saya kumpulkan berita jenayah seksual dan sumbang mahram dalam tempoh yang lebih lama, setahun contohnya, jumlahnya sudah pasti mencecah ribuan kes.

Mengikut statistik pihak berkuasa, sebanyak 21,244 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak membabitkan kesalahan rogol, sumbang mahram, seks luar tabii dan cabul direkodkan di seluruh negara dalam tempoh tujuh tahun sejak 2010.

Untuk rekod, angka 21,244 kes untuk tempoh tujuh tahun itu dinyatakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Datin Chew Mei Fun ketika merasmikan Seminar Kesedaran Keselamatan Kanak-Kanak 2017, di Air Keroh, Melaka, April lalu.

Beliau berkata, kesungguhan kerajaan untuk membendung masalah semakin kritikal ini terbukti apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 pada 4 April lalu.

Saya akui kerajaan amat mengambil berat mengenai kes jenayah seksual dan sumbang mahram ini terutama yang membabitkan kanak-kanak dan pelbagai langkah sudah diambil untuk menanganinya.

Justeru, saya tidak akan mengulas panjang mengenai perkara itu. Cuma, apa yang bermain di fikiran saya apabila membaca satu demi satu kes sumbang mahram ialah mengapa si pelaku tergamak melakukannya? Di mana nilai kemanusiaan mereka?

Dalam kes di Limbang, Sarawak terutamanya, saya hampir tidak percaya kejadian seperti itu boleh berlaku. Bagaimanakah seorang datuk dan ayah tergamak merogol cucu dan anak kandung sendiri.

Kedua-dua mereka yang sepatutnya menjadi pelindung bertukar menjadi syaitan yang memusnahkan kehidupan serta masa depan yang baru berusia 12 tahun.

Seorang daripada sepupu mangsa yang turut dituduh merogol mangsa juga masih di bawah umur. Baru 16 tahun, tapi sudah ‘pandai’ dan berani melakukan perbuatan keji itu.

Sukar saya bayangkan bagaimana keadaan psikologi kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun ini selepas sepupu, ayah dan datuknya sendiri merogolnya.

Pastinya mangsa akan mengalami trauma berpanjangan dan usaha memulihkan kecederaan emosi yang dialaminya bukan perkara mudah kerana ia mungkin berkekalan hingga ke akhir hayat.

Semoga inilah kes yang pertama dan terakhir berlaku di negara kita dan saya tidak sanggup lagi untuk menatap berita seumpama ini di media.

Mungkin ada yang beranggapan kes ini adalah terpencil dan ia tidak boleh dijadikan ukuran untuk memberi gambaran mengenai keruntuhan moral atau institusi kekeluargaan di negara ini.

Namun, saya berpendirian sebaliknya kerana statistik yang direkodkan jelas menunjukkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak termasuk sumbang mahram begitu melata sekali dalam kalangan masyarakat kita.

Berdasarkan statistik 21,244 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang direkodkan dalam tempoh tujuh tahun lalu, ia menunjukkan secara purata kira-kira 3,000 kes berlaku setahun, 250 kes sebulan dan lapan kes sehari.

Bagai saya, angka ini amat menakutkan dan usaha kerajaan untuk menangani kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak tidak akan berkesan jika kita terus-terusan mengambil sikap acuh tak acuh serta suka menyalahkan orang lain.

Saya berpendapat, setiap ahli masyarakat kita perlu bersikap lebih prihatin dan peka terhadap apa yang berlaku dalam komuniti masing-masing. Jangan hanya pentingkan diri dan keluarga sendiri tapi kita juga perlu cakna terhadap jiran sekeliling.

Bagi saya, peribahasa ‘jangan jaga tepi kain orang’ tidak terpakai dalam konteks ini. Tidak salah untuk menukarnya kepada ‘sila jaga tepi kain orang’ terutama dalam perkara membabitkan kebajikan dan keselamatan.

Kita harus kembali kepada budaya hidup masyarakat dulu-dulu yang amat mengambil berat dan prihatin terhadap jiran tetangga.

Hanya dengan keprihatinan kita dapat mengesan sekiranya berlaku aktiviti sumbang mahram dan jenayah seksual ke atas kanak-kanak berlaku dalam kalangan saudara-mara serta kejiranan kita.

Saya menekankan aspek kejiranan di dalam kes sumbang mahram ini kerana berpendapat jika ayah dan ahli keluarga sendiri sudah tidak boleh dipercayai untuk melindungi kita, jiranlah individu terdekat yang sepatutnya mengambil alih tanggungjawab itu.

Institusi kejiranan kita kini semakin longgar. Baik di bandar mahupun luar bandar, ramai yang sudah tidak mengenali jiran dan ahli komuniti masing-masing. Ada kalanya keadaan di kampung lebih teruk daripada taman perumahan di bandar.

Ini yang perlu kita sama-sama ubah. Selain kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan sumbang mahram, banyak lagi masalah sosial yang mengancam kehidupan anak-anak kita pada masa ini.

Hanya dengan kesedaran dan sikap prihatin yang tinggi terhadap nasib orang di sekeliling kita, pelbagai jenis ancaman sosial yang semakin meruntuhkan institusi keluarga dan masyarakat ini mampu kita tangani dengan berkesan.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2017 @ 3:22 AM