MYRA Natasya.
MYRA Natasya.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pengacara dan pelakon baharu, Myra Natasya Abdullah menyifatkan dirinya bertuah menjadi anak kepada penyampai radio Halim Othman.

Myra, 27, atau nama sebenarnya Yusmyra Natasya berkata, dia disayangi atau dilindungi oleh rakan-rakan artis yang lain.

"Mereka terkejut dan kata fuhhh...anak Halim. Bila saya anak Halim, saya pun macam anak mereka juga. Mereka akan lindungi saya, ajar saya dan bagi nasihat.

"Itulah kelebihan yang ada dan saya tak boleh menidakkannya dengan kata ia usaha saya sendiri. Sebab bapa saya, jadinya saya disayangi oleh rakan-rakan artis terutamanya yang sebaya dengan ayah.

"Ia memudahkan kerja saya. Tapi apabila benda ini tular, harapan orang amat tinggi. Bila saya buat pengacaraan, orang kata, anak Halim pasti hebat. Itu macam buat saya takut. Ada baik dan buruknya," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia kini lega kerana tidak perlu bersembunyi lagi statusnya yang sebenar.

"Mungkin bapa boleh temankan saya shooting dan mungkin kami boleh pergi event sama-sama. Itu yang bestnya. 

"Bapa tak menyokong cita-cita saya untuk jadi penyampai radio sebab kerjaya ini punyai tanggungjawab yang sangat berat. Kena bangun pagi, emosi kena jaga, jadi dia tak menyokong. 

"Katanya jangan buat semua benda pada waktu yang sama. Fokus berlakon dan mengacara dua ini pun dah berat," katanya. 

Myra mengambil nasihat itu dan setakat ini hanya berlakon dan mengacara program TV.

"Apabila tengok popularitinya, saya pernah nak jadi macam dia. Waktu uji bakat Dewi Remaja 2019, semua peserta beritahu nak jadi pelakon dan pengacara tapi jawapan saya pula nak jadi penyampai radio. 

"Sebabnya saya rasa ia kerjaya unik kerana temani orang pergi bekerja dan suara kami didengari dalam kereta semua orang. 

"Saya pernah bercita-cita tapi tak disokong dan setakat ini jadual saya tak izinkan saya untuk cuba dalam bidang lain," katanya yang bergelar penyampai Didik TV. 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 4:17 PM