MOHAMMAD Nasharudin meraikan kegembiraan bersama  ibu bapa dan adik perempuannya selepas mendapat keputusan cemerlang, semalam.
MOHAMMAD Nasharudin meraikan kegembiraan bersama ibu bapa dan adik perempuannya selepas mendapat keputusan cemerlang, semalam.

Seremban: “Ini satu kejutan kerana saya tidak menyangka akan memperoleh keputusan sebaik ini iaitu PNGK 4.00 kerana ketika ujian percubaan, saya hanya memperoleh 3.5 hingga 3.7 markah,” kata Mohammad Nasharudin Ali Besar, 20.

Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Hj Mohd Said (SHAMS) di Sikamat, di sini, itu memperoleh lima prinsipal dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2014 yang diumumkan, semalam.

Dia memperoleh 100 peratus lulus dalam semua subjek iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Bahasa Arab, Syariah dan Usuluddin, sekali gus dinobatkan pelajar terbaik Negeri Sembilan.

Menurutnya, bagi meraih pencapaian terbaik dalam STPM dia menumpukan pelajaran dan tugasan yang diberikan guru selain sering mendoakan kesejahteraan ibu dan ayah serta kejayaan rakan lain.

“Saya juga belajar tanpa tekanan dengan tidak mengulang kaji pelajaran sehingga awal pagi sebaliknya mempunyai jadual tersendiri dan belajar berkumpulan.

“Sistem pembelajaran yang menggunakan pendekatan di universiti, mendorong saya selalu berada di luar kelas bagi menyiapkan kerja kursus dan ia suatu kaedah yang menyeronokkan,” katanya selepas menerima slip peperiksaan itu di dewan SHAMS, semalam.

Dia turut ditemani ibu dan bapanya Ali Besar Bahah, 56, dan Sarimah Saari, 47.

Slip itu disampaikan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SHAMS, Hafizi Mohd Ali.

Mohammad Nasharudin dari Teluk Kemang, Port Dickson berkata, dia juga tidak melupakan tanggungjawab dan hubungan dengan Allah SWT serta sering berdoa setiap kali selepas solat untuk kejayaan yang diinginkan.

Dia yang berhasrat melanjutkan pelajaran dalam bidang Usuluddin di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau bidang Syariah di Universiti Malaya (UM) menghadiahkan kejayaan itu buat kedua ibu bapanya yang banyak berkorban demi kecemerlangannya.

Sementara itu, Ali Besar yang juga pesara tentera bersyukur dengan kecemerlangan anak kedua daripada lima beradik itu.

“Mohammad Nasharudin berjaya mengikut jejak abang sulungnya yang kini melanjutkan pelajaran dalam bidang agama di UM,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha peperiksaan STPM SHAMS Hamzani Hamzah berkata, SHAMS muncul sekolah terbaik peringkat kebangsaan apabila 20 calon yang menduduki peperiksaan itu lulus.

“Saya berharap prestasi terbaik ini dapat jadi inspirasi kepada 25 pelajar sekolah ini yang bakal menduduki peperiksaan STPM tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 9:31 AM