PENDUDUK memanjat ranting pokok bagi memanjat jejambat yang dalam pembinaan sementara menunggu untuk dipindahkan akibat kejadian banjir susulan kenaikan paras air sungai Yamuna. FOTO Reuters
PENDUDUK memanjat ranting pokok bagi memanjat jejambat yang dalam pembinaan sementara menunggu untuk dipindahkan akibat kejadian banjir susulan kenaikan paras air sungai Yamuna. FOTO Reuters
BERNAMA

New Delhi: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi sedang berhubung dengan pihak berkuasa India untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai 12 rakyat Malaysia yang terkandas di wilayah Himachal Pradesh akibat dilanda banjir.

Hujan lebat di bahagian utara India termasuk Himachal menyebabkan kejadian banjir dan tanah runtuh.

Kementerian Luar (Wisma Putra) sedang giat menyelaras usaha mengesan sekumpulan 12 rakyat Malaysia yang tidak dapat dihubungi oleh keluarga masing-masing selepas fenomena hujan lebat pada Ahad.

"Kami sedang berhubung dengan pihak berkuasa India untuk mengetahui status rakyat Malaysia di Himachal Pradesh," kata Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Amizal Fadzli Rajali kepada Bernama.

Rangkaian komunikasi mudah alih tergendala di beberapa kawasan manakala ribuan kenderaan sedang menunggu untuk diselamatkan di pelbagai lokasi di Himachal berikutan jalan raya rosak teruk.

Pegawai tempatan memaklumkan mereka cuba menghubungi pelancong tempatan dan asing termasuk 15 warga Rusia, yang terkandas di kawasan Kasol daerah Kullu.

Keutamaan kini adalah untuk memindahkan pelancong dengan selamat dan kemudian memberi tumpuan kepada membaiki jalan, bekalan air, bekalan elektrik dan infrastruktur lain, kata ketua menteri Himachal Sukhvinder Singh Sukhu pada Rabu.

"Kami sudah berjaya memindahkan 50 peratus pelancong," katanya sambil menambah menjelang 8 malam (waktu India) jumlah itu dijangka mencecah 80 peratus.

Kerosakan infrastruktur dianggarkan berjumlah AS$500 juta.

Sebanyak 80 peratus projek air dan pengairan Himachal sudah musnah akibat bencana itu, kata ketua menteri itu.

Hujan lebat turut melanda negeri Uttarakhand, Punjab dan Haryana.

Delhi berdepan ancaman banjir apabila paras air sungai Yamuna mencecah paras bahaya. Sekurang-kurangnya 100 orang maut dalam insiden berkaitan hujan di seluruh utara India.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 7:17 PM