PENDUDUK menarik lembu dalam usaha untuk menyelamatkan haiwan ternakan itu daripada menjadi mangsa banjir di Delhi. FOTO AFP
PENDUDUK menarik lembu dalam usaha untuk menyelamatkan haiwan ternakan itu daripada menjadi mangsa banjir di Delhi. FOTO AFP
AFP

New Delhi: Hujan berterusan selama berhari-hari yang mengakibatkan banjir sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 66 orang di India, kata pegawai kerajaan pada Rabu.

Puluhan pelancong asing turut terkandas di Banjaran Himalaya, selepas banjir memutuskan sambungan jalan raya.

Banjir dan tanah runtuh adalah perkara biasa dan menyebabkan kemusnahan yang meluas semasa musim tengkujuh di India, tetapi pakar berkata perubahan iklim meningkatkan kekerapannya.

Hujan lebat menghanyutkan kenderaan, merobohkan bangunan dan meruntuhkan jambatan di Himachal Pradesh, negeri yang paling teruk terjejas.

Sekurang-kurangnya 33 mangsa kehilangan nyawa sejak Sabtu di negeri yang terkenal dengan Banjaran Himalaya yang indah itu, kata ketua agensi bencana negeri, Onkar Sharma.

Pasukan penyelamat dikerah untuk membantu 40 pelancong asing iaitu termasuk 14 warga Rusia dan 12 rakyat Malaysia.

Pelancong berkenaan terkandas di destinasi pelancongan itu bersama ratusan warga India, kata ketua polis negeri Satwant Atwal kepada AFP.

"Disebabkan salji lebat juga dan cuaca buruk, ia menjadi sangat sukar untuk memindahkan mereka yang terkandas. Kami sedang mencuba segala pilihan yang mungkin ada," kata Ketua Menteri Sukhvinder Singh Sukhu pada Rabu di Twitter.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 12 mangsa terkorban di negeri jirannya, Uttarakhand, termasuk sembilan mangsa yang maut pada Selasa, kata pegawai.

Buat sementara ini, orang ramai juga dilarang buat sementara menziarahi ke kuil Kedarnath di negeri itu, rumah ibadat yang terkenal, kerana cuaca hujan lebat.

"Memandangkan hujan berterusan di semua kawasan di negeri ini, saya meminta orang ramai dan pengunjung yang mahu mengunjungi kuil mengelak daripada melakukan perjalanan yang tidak perlu," kata Ketua Menteri Uttarakhand, Pushkar Singh Dhami di Twitter.

Hujan yang tidak henti-henti turut menyebabkan kerosakan besar di seluruh negeri Punjab, dengan sekurang-kurangnya 10 terbunuh dalam banjir kilat.

"Anggaran kerugian sedang dinilai. Terdapat kehilangan besar nyawa dan harta benda," kata Menteri Hasil Negeri Brahm, Shankar Jimpa kepada pemberita pada Selasa.

Sekurang-kurangnya 11 terbunuh di Uttar Pradesh, negeri paling ramai penduduk di India, menurut pegawai negeri.

Ibu negara, New Delhi, juga diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga terhadap banjir selepas Sungai Yamuna mencatatkan paras tertinggi sejak 1978.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 10:30 AM