Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


WANITA maut selepas ditikam di bahagian muka serta bahu menggunakan pisau dan gunting oleh sepupunya dalam kejadian di Taman Temerloh Makmur, Temerloh malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, mangsa Robiatul Ain Mahamod, 27, meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) ketika menerima rawatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Senior Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, mangsa adalah anak kepada anggota polis berpangkat sarjan yang bertugas di Balai Polis Temerloh.

Katanya, sebelum kejadian mangsa dikatakan bertengkar dengan sepupunya yang berusia 26 tahun, selepas mangsa mendakwa suspek menghisap dadah dan mencuri barang di dalam rumah berkenaan.

"Suspek yang berang dengan tuduhan itu bertindak menikam mangsa beberapa kali di muka dan bahu menggunakan pisau serta gunting.

"Rumah berkenaan didiami mangsa bersama suami, adiknya serta suspek dan ketika kejadian, hanya mangsa dan suspek sahaja berada di rumah," katanya.

Othman berkata, jiran mangsa sebelum itu mendengar mangsa bergaduh dan bertengkar dengan seorang lelaki dan segera menghubungi bapa serta adik mangsa.

"Apabila bapa mangsa bersama adik lelaki mangsa tiba di rumah, mereka bertindak memecahkan pintu hadapan kerana dapati ia berkunci.

"Sebaik masuk ke rumah, mereka menemui mangsa tertiarap di ruang tamu dengan kesan tikaman dan segera membawa ke hospital, namun mangsa disahkan meninggal dunia sejam kemudian," katanya.

Suspek berjaya ditahan pada 10 malam ketika bersembunyi di belakang rumah kosong kira-kira 70 meter dari tempat kejadian.

"Kita juga menemui pisau serta gunting yang digunakan dalam kejadian itu di bahagian garaj rumah berkenaan.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 12:13 PM