Wartawan menemui peguam yang mewakili tertuduh, Datuk Bob S Arumugam selepas pihak mahkamah menolak permohonan semakan jenayah difailkan SPRM. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Wartawan menemui peguam yang mewakili tertuduh, Datuk Bob S Arumugam selepas pihak mahkamah menolak permohonan semakan jenayah difailkan SPRM. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak permohonan semakan jenayah difailkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang menolak permohonan mendapatkan perintah reman seorang Ketua Polis Daerah (KPD) di Pahang yang didakwa menerima rasuah lebih RM1 juta.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu selepas meneliti hujah Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif dan peguam, Datuk Bob S Arumugam yang mewakili KPD terbabit selaku responden dalam permohonan itu.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, keputusan Mahkamah Majistret yang menolak permohonan mendapatkan perintah reman adalah betul dan wajar.

Beliau berkata, Majistret tidak terkhilaf dalam undang-undang atau prosedur dalam kes reman.

Mahkamah Majistret pada 7 Jun lalu, menolak permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) yang dikemukakan SPRM terhadap responden memandangkan siasatan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

Pada 6 Jun lalu, SPRM melalui kenyataan mengesahkan seorang KPD di Pahang ditahan kerana disyaki menerima rasuah dianggarkan lebih RM1 juta sepanjang tempoh antara 2017 hingga 2022.

Pegawai kanan polis itu disyaki menerima rasuah bagi melindungi aktiviti pusat hiburan dan pusat urut di sekitar daerah kawalannya.

Susulan itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan salah laku atau jenayah dilakukan pegawainya dan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa yang menjalankan siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 3:31 PM