Asrol Awang


Kuantan: Mahkamah Majistret di sini hari ini, menolak permohonan reman terhadap seorang Ketua Polis Daerah di Pahang yang disyaki menerima rasuah dianggarkan lebih RM1 juta sejak 2017 hingga 2022.

Keputusan itu dibuat Majistret Tengku Eliana Tuan Kamarulzaman selepas mendengar penghujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Rifah Izzati Abdul Mutalif dan peguam yang mewakili suspek, Datuk Bob Arumugam.

Sementara itu, , Bob Arumugam ketika ditemui berkata, beliau menghujahkan bahawa SPRM sepatutnya menggunakan Seksyen 49 Akta SPRM 2009 yang memberi kuasa khusus kepada mereka untuk menjalankan siasatan.

"Akta SPRM juga memberi kuasa untuk SPRM dalam situasi penyiasatan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam. Tetapi (dalam kes ini) SPRM mengemukakan permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ)," katanya.

Sementara itu, sumber SPRM berkata, suspek dibebaskan dengan bon jaminan suruhanjaya berkenaan.

SPRM dalam kenyataan semalam, mengesahkan seorang Ketua Polis Daerah ditahan SPRM Pahang kerana disyaki menerima rasuah dianggarkan lebih RM1 juta sejak 2017 hingga 2022.

Pegawai kanan polis berusia 53 tahun itu disyaki menerima rasuah bagi melindungi aktiviti pusat hiburan dan pusat urut di sekitar daerah kawalannya.

Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Amin mengesahkan tangkapan namun enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 12:05 PM