ZULKIFLY (kiri) menjaga Mohd Zaidan yang kini terlantar di Hospital Melaka selepas patah lima tulang rusuk akibat terjatuh ke dalam longkang berikutan dikejar anjing. FOTO Khairunisah Lokman.
ZULKIFLY (kiri) menjaga Mohd Zaidan yang kini terlantar di Hospital Melaka selepas patah lima tulang rusuk akibat terjatuh ke dalam longkang berikutan dikejar anjing. FOTO Khairunisah Lokman.
Mohd Hilmie Hussin


SUDAH jatuh ditimpa tangga, seorang lelaki kurang upaya (OKU) yang lumpuh tangan kanan, kini hilang upaya tangan kiri apabila lengan serta lima tulang rusuk kirinya patah, akibat kemalangan motosikal gara-gara dikejar anjing, di Telok Mas, Melaka, Ahad lalu.

Mohd Zaidan Mat Rezan, 42, adalah pemegang kad OKU sejak terbabit kemalangan jalan raya pada 2004 sehingga lumpuh tangan kanan dan kedua-dua kakinya lemah.

Menurutnya, dia yang menunggang motosikal tiga roda terbabit kemalangan apabila kenderaan itu terbabas ke dalam longkang gara-gara dikejar anjing peliharaan tidak ditambat.

Katanya, rutin hariannya keluar rumah seawal 5.30 pagi ke surau berdekatan, melakukan kerja pembersihan surau dan masjid sekitar sebelum menziarah kubur arwah bapanya selepas Subuh.

“Kejadian berlaku pada 8.30 pagi ketika saya dalam perjalanan ke warung untuk sarapan selepas menziarah kubur bapa di kampung terbabit.

“Sebaik melalui rumah kampung milik penduduk berbangsa Cina, saya dikejar dua ekor anjingnya yang tidak ditambat, malah pintu pagar rumahnya pula terbuka.

“Bimbang digigit anjing, saya cemas lalu motosikal ditunggang terbabas ke tepi jalan, mujur ada tiga roda dan tersangkut dan tidak menghempap saya yang terperosok ke dalam longkang,” katanya.

Ekoran kejadian itu, Mohd Zaidan dimasukkan ke wad Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan rapi.

Adik lelakinya Zulkifly Mat Rezan, 40, menjaganya sepenuh masa berikutan Mohd Zaidan tidak mampu lagi bergerak sendiri.

“Tangan kanan abang saya dah lumpuh, sekarang tangan kirinya pula retak, selain luka di kepala dan terpaksa menerima jahitan.

“Doktor beritahu lengan kirinya retak selain patah lima tulang rusuk kiri. Jadi, dia langsung tidak mampu mengangkat badan sendiri jika terbaring, perlu sentiasa ada seseorang membantunya,” kata Zulkifly.

Menurut Zulkifly, penduduk taman perumahan serta Kampung Teluk Mas sering mengadu dikejar anjing yang dipelihara individu terbabit, namun setiap kali diaju kepada pemiliknya, dia mengaku anjing itu bukan peliharaannya.

Katanya, kebimbangan lebih memuncak jika anjing terbabit mengejar dan mengancam keselamatan kanak-kanak.

“Sejak kemalangan menimpa abang saya, tiba-tiba pagar rumahnya bertutup dan dua ekor anjing itu ada dalam pagar rumahnya, bermakna itu memang anjing miliknya.

“Doktor memberitahu abangnya mungkin dapat keluar dari wad dalam tempoh beberapa hari lagi, namun saya bimbang apabila abang sukar bergerak dan menguruskan dirinya.

“Jika ada pihak sudi membantu terutama mendapatkan katil pesakit seperti di hospital, saya dan keluarga amat berbesar hati demi memudahkan pengurusan diri Mohd Zaidan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 11:57 PM