MOHD Yusmiza menunjukkan lokasi di mana dia menemui bayi perempuan di Jalan Air Putih. FOTO Rosli Ilham.
MOHD Yusmiza menunjukkan lokasi di mana dia menemui bayi perempuan di Jalan Air Putih. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


Chukai: "Saya terkejut dan sangat sedih melihat keadaan bayi itu dalam keadaan menggigil kesejukan," kata Mohd Yusmiza Azlan, pekerja kedai menjual ayam, lokasi penemuan bayi perempuan hari ini.

Bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemuinya sebaik dia tiba di tempat kerjanya kira-kira jam 7.50 pagi.

Menurutnya, dia menemui bayi dianggarkan seberat kira-kira dua kilogram dalam keadaan keseluruhan badannya dihurung semut.

"Sebaik tiba, saya dan beberapa rakan sibuk memunggah bekalan ayam dari lori untuk di letakkan di kedai.

"Bila ternampak bayi itu saya terus mendapatkannya dan meminta bantuan majikan dan rakan menghubungi polis dan ambulans," katanya.

Katanya, dia percaya bayi itu dilahirkan sejak dua tiga hari yang lalu sebelum dibawa ibu bayi itu dan ditinggalkan di premis tempat dia berkerja.

"Saya percaya bayi itu dilahirkan lebih dua hari berdasarkan tali pusatnya yang sudah mengecut dan bertukar warna kehitaman.

"Saya percaya sebelum itu bayi itu diletakkan ibunya di atas sebuah kusyen dan ditutup dengan sehelai kain di situ," katanya.

Yusmiza berkata, bagaimanapun ketika menemuinya, bayi itu dipercayai tergolek dan berada di atas lantai.

"Bayi tanpa pakaian itu langsung tidak menangis dan saya mengambil keputusan menyelimutkannya bagi mengelak dia terus kesejukan," katanya.

Katanya, bayi terbabit ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Terdahulu Harian Metro melaporkan penemuan seorang bayi perempuan masih hidup berada di atas lantai di sebuah kedai menjual ayam di kawasan Jabur Kubur, Jalan Air Putih, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 12:46 PM