Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di sini, yang sedang dinaik taraf bersedia untuk menjadi lapangan terbang antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, projek yang dijangka siap pada pertengahan 2024 itu mampu menampung sehingga empat juta penumpang setahun.

Katanya, lapangan terbang dengan kos lebih RM440 juta itu juga adalah lapangan terbang domestik ketiga tersibuk selepas Miri, Sarawak dan Subang, Selangor.

"Skop utama projek naik taraf ini adalah merangkumi pembesaran dan menaik taraf bangunan terminal sedia ada bagi meningkatkan kapasiti daripada 1.5 juta penumpang setahun (MPPA) kepada empat MPPA yang dijangka dapat dicapai pada 2028.

"Projek itu juga akan mengasingkan balai ketibaan dan pelepasan penumpang dengan bangunan terminal yang lebih besar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan ke tapak projek naik taraf dan pembesaran LTSIP, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Mustapa (tengah) melihat kertas cadangan baikpulih Projek Pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Kota Bharu di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Mustapa (tengah) melihat kertas cadangan baikpulih Projek Pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Kota Bharu di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Ir Suhaili Ismail.

Mustapa berkata, projek itu membabitkan pembinaan tempat letak kereta bertingkat selain lima jambatan udara (Aerobridge) akan ditambah menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 11 jambatan.

"Kerja-kerja naik taraf LTSIP itu bukan hanya untuk keselesaan, malah ianya menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

"Sehingga kini terdapat 47 tenaga profesional serta 70 petugas sokongan bekerja di tapak projek. Jumlah pekerja dijangka meningkat sehingga lebih 500 orang apabila pelaksanaan projek ini mencapai waktu kemuncak pada Jun 2022.

"Ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan kesalinghubungan antara bandar dan seterusnya merapatkan jurang pembangunan antara wilayah sebagaimana yang menjadi salah satu tumpuan dalam

Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 8:48 PM