GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kehilangan pekerjaan dan pendapatan, hilang tempat bergantung, pergaduhan antara ahli keluarga dan masalah rumah tangga antara aduan yang sering diterima Talian Bantuan Sokongan Psikososial.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang diwujudkan sejak 25 Mac tahun lalu mendapati kebanyakan pemanggil memerlukan sokongan emosi dan kaunseling.

"Daripada 1 Januari sehingga 18 Jun lalu, talian terbabit menerima sebanyak 122,328 panggilan.

"Daripada jumlah itu sebanyak 109,806 panggilan (89.4 peratus) adalah berkait rapat dengan isu-isu psikologi kesan daripada pelbagai masalah sosial.

"Antaranya ialah kehilangan pekerjaan dan pendapatan, hilang tempat bergantung, pergaduhan antara ahli keluarga dan masalah rumah tangga (pertengkaran, perpisahan, perceraian), penderaan (emosi dan fizikal)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewujudkan beberapa inisiatif dalam menangani gejala tekanan yang dihadapi.

"Antaranya ialah bekerjasama dengan MERCY Malaysia dalam memberikan perkhidmatan talian bantuan sokongan psikososial yang berpusat di CPRC sejak 25 Mac tahun lalu dan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan mewujudkan talian bantuan masing-masing iaitu KSK Care (JAKIM) dan Talian KASIH.

"Manakala di peringkat lapangan seperti hospital dan klinik kesihatan, Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) turut disediakan untuk kumpulan sasar.

"KKM turut melaksanakan sesi webinar kepada masyarakat tentang topik kesihatan mental yang berkait rapat dengan tekanan semasa pandemik Covid-19," katanya.

Menurutnya, impak psikologi perlu diberi perhatian dalam menghadapi ancaman wabak Covid-19 ini.

"Umum mengetahui bahawa perasaan cemas, gemuruh serta sedih ketika menghadapi tekanan adalah sebahagian dari kehidupan terutamanya ketika berhadapan pandemik Covid-19 ini.

"Namun keadaan tekanan ini akan menjadi masalah jika ianya berpanjangan atau menjejaskan fungsi harian individu terbabit. Segeralah dapatkan penilaian psikiatri jika ini berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 8:07 PM