TANGAN kanan mangsa tersepit pada mesin pengisar simen. FOTO ihsan keluarga
TANGAN kanan mangsa tersepit pada mesin pengisar simen. FOTO ihsan keluarga
Ahmad Rabiul Zulkifli


BUDAK perempuan menanggung kesakitan lebih 30 minit selepas tangan kanannya tersepit pada mesin pengisar simen di tapak pembinaan berdekatan rumahnya di Kampung Mengabang Panjang, Batu Rakit, Kuala Nerus, semalam.

Dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, Nur Nabilah Syafira Syafirah Mohd Zamro Hassan, 7, patah tangan kanan, jari hantu dan jari manis.

Ibunya, Zuriana Ya, 35, berkata, dia yang dalam perjalanan ke tempat kerja dihubungi anak sulungnya, Nur Nabilah Shahira, 11, memaklumkan kejadian menimpa Nur Nabilah Syafira.

“Saya bergegas pulang ke rumah dan sebaik tiba Nur Nabilah Syafira menjerit kesakitan dengan tangannya tersepit pada mesin pengisar simen sebelum meminta bantuan penduduk kampung.

“Penduduk bekerjasama mengeluarkan tangan Nur Nabilah Syafira namun gagal menyebabkan saya menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mendapatkan bantuan.

“Bukan saja JBPM tetapi polis juga turut datang membantu dan tangan kanan Nur Nabilah Syafira berjaya dikeluarkan kira-kira 15 minit kemudian sebelum dia dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan,” katanya ketika ditemui di HSNZ, hari ini.

Zuriana berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu tidak ke sekolah pada hari kejadian menyebabkan dia bersama empat sepupunya termasuk adiknya, Mohd Zafrul, 5, ke kawasan tapak pembinaan yang terletak berhampiran rumah untuk bermain pasir.

“Difahamkan, ketika kejadian mangsa sedang membersihkan mesin pengisar simen itu sebelum tangan kanannya termasuk ke bahagian belakang mesin pengisar simen dan tersepit.

“Sudah banyak kali saya dan bapa saudaranya melarang mereka bermain di kawasan tapak pembinaan itu tetapi mereka ke sana tanpa pengetahuan kami,” katanya.

Menurutnya, dia berharap kejadian itu memberi keinsafan bukan saja kepada anaknya tetapi kepada anak-anak saudaranya yang turut bermain pasir di kawasan berkenaan.

“Kami sudah beberapa kali mengingatkan mereka supaya tidak bermain di situ tetapi mereka degil dan kami berharap apa yang berlaku ini memberi pengajaran kepada mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 4:38 PM