FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


PEMANDU Grab berdepan detik cemas apabila disamun dua lelaki yang juga penumpangnya di Taman Jasmin, di Kajang, Jumaat lalu.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, mangsa berusia 29 tahun terpaksa menjadi ‘tebusan’ dua penjenayah berkenaan yang bersenjatakan pisau untuk tempoh beberapa minit.

Bagaimanapun, mangsa berjaya melarikan diri daripada tahanan dua suspek berkenaan dengan keluar dari kereta Proton Saga FLX miliknya ketika kenderaan berkenaan yang dipandu suspek berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Sumber berkata, ketika mangsa berada di rumahnya di Kajang Perdana, Kajang, dia menerima panggilan pelanggan daripada aplikasi Grab untuk mengambil penumpang di Taman Jasmin, di sini.

“Sebaik tiba, mangsa mendapati ada dua lelaki memintanya menghantar mereka ke flat di Bangi. Bagaimanapun, apabila tiba di flat berkenaan, hanya seorang daripada penumpang berkenaan yang turun dari keretanya.

“Beberapa minit kemudian, suspek terbabit masuk ke dalam keretanya dan minta dihantar ke Taman Jasmin semula.

Apabila tiba, suspek memaklumkan lokasi itu salah dan mengarahkan mangsa mengikut arah jalan ditunjukkan mereka hingga tiba di kawasan perumahan di Semenyih.

“Ketika berada di kawasan itu, seorang daripada suspek mengacu pisau dan memaksa mangsa menghisap rokok serta menunjukkan sebungkus serbuk putih di dalam plastik dikatakan dadah yang digunakan untuk menakutkan mangsa kononnya dia akan ditangkap polis jika menemui dadah itu di dalam keretanya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, suspek kemudian mengarahkan mangsa duduk di bahagian belakang dan memukul mangsa beberapa kali sebelum mengambil telefon bimbit serta dompet selain meminta nombor pin akaun miliknya.

“Ketika kereta dipandu suspek berhenti di persimpangan lampu isyarat di Jalan Semenyih, mangsa bertindak keluar dari kenderaan itu dan meminta bantuan daripada pengawal keselamatan yang bertugas di sekolah berhampiran Pejabat Pos Malaysia Semenyih untuk menghubungi polis.

“Kerugian dialami mangsa membabitkan sejumlah wang tunai, dokumen pengenalan diri, lesen memandu empat kad bank serta kereta Proton Saga FLX miliknya yang dilarikan dua penjenayah berkenaan. Mangsa juga dilaporkan cedera di bahagian muka dan dada akibat dipukul suspek terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff ketika dihubungi, hari ini, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Siasatan lanjut berhubung kes itu sedang giat dijalankan termasuk mengenal pasti identiti kedua-dua suspek berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 12:08 PM