GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Lelaki ditemukan maut dalam tandas rumahnya di Taman Kelisa Ria, di sini hari ini, dalam keadaan terduduk di dalam tandas, dan kesan kelar di tangan.

Malah, muka lelaki berusia 58 itu juga berada dalam mangkuk tandas.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, polis menerima panggilan daripada kakitangan hospital jam 1.10 petang memaklumkan penemuan mayat.

Menurutnya, isteri mangsa pada mulanya curiga selepas gagal menghubungi lelaki itu sejak 11 pagi hingga 12.30 tengah hari dan meminta jiran melihat suaminya di rumah mereka.

"Wanita berkenaan ke rumah mangsa dan melihat pintu tidak berkunci masuk, sebelum mendapati lantai ruang tamu dipenuhi darah menyebabkannya terus menghubungi ambulans," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pembantu perubatan bagaimanapun mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan memaklumkan kejadian itu kepada polis.

"Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat pisau pemotong kertas di ruang tamu rumah berkenaan.

"Mayat mangsa pula ditemukan dengan berpakaian lengkap serta terdapat kesan kelar di tangan kirinya," katanya.

Zaidy berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa tinggal di rumah itu bersama isteri dan pasangan terbabit mempunyai seorang anak perempuan berusia 32 tahun.

"Bagaimanapun, anak perempuan tidak pernah pulang dan tidak pernah menghubungi mereka sejak keluar rumah pada 2016 lalu.

Menurutnya, setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 9:55 PM