ANWAR, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
ANWAR, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan ketokohan Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) Allahyarham Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid sebagai ilmuan yang tiada galang ganti.

Menurut Perdana Menteri, selaku Pengerusi MDN Allahyarham bukan sahaja banyak menabur bakti dalam memperkasakan syiar Islam malah, senantiasa melahirkan pemikiran dan idea bernas menyentuh aspek sosial, ekonomi serta isu semasa.

Menerusi catatan di Facebook beliau hari ini, Anwar turut mengucapkan takziah kepada keluarga Mahmood Zuhdi, 78, yang menghembuskan nafas terakhir pada 10.20 malam Sabtu di kediamannya di Seksyen 11, Petaling Jaya, akibat kanser paru-paru.

"Mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh," kata Anwar.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, kira-kira 11.30 pagi tadi.

Mahmood Zuhdi adalah seorang tokoh akademik serta dakwah dan ketika hayatnya pernah menjawat pelbagai jawatan antaranya Dekan Fakulti Syariah Universiti Malaya (UM), Pengarah Akademi Pengajian Islam UM dan Anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan yang memperoleh Ijazah Sarjana daripada Universiti Al-Azhar, Mesir dan Doktor Falsafah daripada UM juga pernah berkhidmat sebagai Dekan Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah Public Bank.

Allahyarham juga menerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 9:05 PM