MOHD Redzuan menunjukkan nanas MD2 sebagai penambahan perisa dalam kopi yang dihasilkan.
MOHD Redzuan menunjukkan nanas MD2 sebagai penambahan perisa dalam kopi yang dihasilkan.
Togi Marzuki

Selain isinya, tidak ramai yang tahu daun, kulit, empulur dan tangkai nanas sebenarnya boleh diproses untuk menghasilkan pelbagai produk sebagai sumber kewangan tambahan.

Daun nanas umpamanya boleh dijadikan benang dan fabrik berkualiti, kulit sebagai baja, sementara empulurnya boleh diproses menjadi jus minuman serta ‘nata de coco’.

Di Feista Nanas 60, sempena sambutan ulang tahun ke-60 Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) di Pusat Perdagangan Bandar Baru Pontian, Johor, baru-baru ini, kopi berperisa nanas diperkenalkan dan dipasarkan usahawan muda, Mohd Redzuan Shah Ahmad, 34, melalui jualan di atas trak makanan.

Lebih menarik kopi nanas berjenama ‘Coffee Ngencess’ bukan saja menjadi tumpuan pengunjung malah dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong.

Turut hadir, Ketua Pengarah LPNM Datuk Mohd Anim Hosnan dan Pegawai Daerah Pontian Mohd Shukri Masbah.

Mohd Redzuan ketika ditemui berkata, idea kopi perisa nanas diperkenalkan dalam usaha menambah produk berasaskan nanas dan menarik minat orang ramai.

TEE (kiri) membuat air kopi berperisa nanas di trak makanan.
TEE (kiri) membuat air kopi berperisa nanas di trak makanan.

Katanya, dia mula berniaga melalui trak makanan sejak dua tahun lalu dan membuka empat cawangan, tiga melalui trak makanan dan satu di gerai di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

“Saya menggunakan nanas jenis MD2 untuk menghasilkan kopi berperisa nanas dengan kerjasama pembekal kopi dari kilang (OEM). Alhamdulillah dengan modal permulaan sebanyak RM20,000 dan dibantu isteri, Roslina Sapawi serta 12 pekerja, kami kini mampu memperoleh pendapatan RM5,000 sebulan,” katanya.

Sama seperti perniagaan lain, pada mulanya dia berdepan pelbagai masalah dan kesukaran namun berkat usaha gigih serta rajin menyertai pelbagai program atau karnival anjuran pelbagai agensi kerajaan, kopi berperisa nanas mula dikenali ramai. Kini ia dipasarkan di beberapa negeri sekali gus meningkatkan semangat untuk lebih maju pada masa hadapan.

Pengunjung, Faridah Mohd Fadzil, 46, berkata menjual pelbagai menu dari atas trak dilihat semakin popular dalam kalangan usahawan muda dan ia menjadi tarikan kepada orang ramai yang mahu menikmati pelbagai menu lazat secara santai serta mudah didapati di mana-mana lokasi sesuai.

“Perniagaan trak makanan bukan saja mewujudkan persekitaran bersih dan tersusun malah menjadi daya tarikan.

“Melalui jualan menu seperti kopi berperisa nanas, ia bukan saja menambah kelazatan dan khasiat dalam minuman malah menjadi nilai tambah untuk penghasilan produk menarik.

“Pada masa sama mampu menjana pendapatan kepada pengusaha itu sendiri dan petani,” katanya.

MOHD Redzuan bersama Roslina menunjukkan kopi berperisa nanas yang dihasilkan.
MOHD Redzuan bersama Roslina menunjukkan kopi berperisa nanas yang dihasilkan.

Menurutnya, selama ini, nanas hanya popular sebagai makanan. Namun kini ia boleh diminum dan sesuai dengan daerah ini yang terkenal dengan tanaman itu.

Sementara itu, Tee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang berkata, sektor kulinari atau masakan adalah aspek penting kerana dapat memberi nilai tambah terhadap produk berasaskan nanas.

Katanya, penghasilan kopi berperisa nanas antara minuman hasil kreativiti dan inovatif yang mampu menarik minat ramai pengunjung termasuk pelancong dari dalam serta luar negara.

“Seperti slogan saya ‘Ingat Pontian Ingat Nanas’ dalam usaha mempromosikan nanas atau produk berasaskan tanaman itu supaya ia menjadi identiti atau ikon penting Pontian.

“Kerajaan sentiasa menyediakan pelbagai peluang dan bantuan bagi yang berminat menceburi perniagaan seperti LPNM menyediakan insentif nilai maksimum RM60,000 khususnya bagi usahawan trak makanan berasaskan nanas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 10:03 AM