Redzuan Muharam


Muar: Bekas atlet, Wan Syazriel Zuhairi Wan Saiful Yazan pernah menyumbang pingat emas buat kontinjen Johor dalam acara lompat tinggi untuk Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), empat tahun lalu.

Wan Syazriel Zuhairi, 20, yang menetap di Parit Sakai Darat, di sini juga pernah turut serta dalam kem latihan sebagai persediaan untuk menyertai Sukan Malaysia (Sukma).

Bagaimanapun, kecederaan lutut dialami menyebabkan hasratnya untuk aktif dalam sukan terbantut dan kini Wan Syazriel Zuhairi beralih arah dengan mencari rezeki sebagai peniaga minuman kopi.

"Saya aktif bersukan sejak di sekolah rendah lagi iaitu ketika tahun empat.

"Pernah juga dapat tawaran ke sekolah sukan namun saya tolak dan belajar di sekolah harian biasa saja.

"Lapan tahun juga saya aktif dalam lompat tinggi dan pelbagai kejohanan disertai dalam tempoh itu malah teruskan hingga selepas persekolahan cuma kecederaan dialami menyebabkan saya ambil keputusan berhenti walaupun kini sudah pulih," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

WAN Syazriel Zuhairi ketika mewakili Johor dalam acara lompat tinggi.  FOTO Ihsan Wan Syazriel Zuhairi.
WAN Syazriel Zuhairi ketika mewakili Johor dalam acara lompat tinggi. FOTO Ihsan Wan Syazriel Zuhairi.

Menurut Wan Syazriel Zuhairi, minuman kopi dijualnya diusahakan sebuah syarikat dan dia hanya bekerja di situ.

Katanya, pekerjaan itu dilakukan sejak September lalu iaitu selepas berhenti sebagai barista di sebuah restoran.

"Ikutkan, jiwa saya memang lebih kepada sukan namun apakan daya, tiada rezeki untuk teruskan.

"Jadi, saya cari rezeki dalam bidang lain pula dan ikutkan tiada pengalaman berniaga tetapi pernah ikut bapa saudara menjual burger waktu kecil dulu.

"Bagaimanapun, pengalaman sebagai barista sebelum ini banyak membantu saya lakukan pekerjaan kini," katanya yang juga anak kedua daripada lima beradik.

Menurutnya, dia tidak sangka video dimuat naik di platform TikTok awal bulan lalu mendapat perhatian kerana sekadar berkongsi rutin kerja harian.

"Alhamdulillah, banyak maklum balas positif diterima di ruangan komen.

"Ada juga pengikut datang ke gerai untuk membeli minuman dijual dan bersyukur dengan sokongan diberi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 2:57 PM
WAN Syazriel Zuhari kini mencari rezeki dengan menjual minuman kopi di Muar, Johor. FOTO Ihsan Wan Syazriel Zuhairi Wan Saiful Yazan.
WAN Syazriel Zuhari kini mencari rezeki dengan menjual minuman kopi di Muar, Johor. FOTO Ihsan Wan Syazriel Zuhairi Wan Saiful Yazan.