HUI Xin yang juga sahabat Muhammad Hawari mencabar diri menawan puncak ABC, Nepal dengan menginspirasi semangat lelaki itu. FOTO ihsan HUI XIN
HUI Xin yang juga sahabat Muhammad Hawari mencabar diri menawan puncak ABC, Nepal dengan menginspirasi semangat lelaki itu. FOTO ihsan HUI XIN
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: "Muhammad Hawari pernah mengajak saya menyertai misi mendaki Gunung Everest, saya terpaksa menolaknya kerana kekangan masa dan belum bersedia ketika itu," kata Hui Xin, pendaki wanita berstatus orang kurang upaya (OKU) pendengaran.

Dia mengenali Muhammad Hawari Hashim sejak 18 tahun lalu dan sepanjang tempoh itu hubungan persahabatan mereka baik kerana rakannya itu seorang yang peramah serta mudah bergaul dalam komuniti termasuknya dirinya.

"Muhammad Hawari adalah pelajar kesayangan dan disenangi ramai kerana seorang yang baik, kelakar dan ringan tulang.

"Dia juga banyak berkongsi ilmu, tips dan pengalaman tentang pendakian dan alam semula jadi.

"Saya bersyukur mendapat bimbingan dan latihan daripada Muhammad Hawari. Dia pernah cuba mendaki Gunung Everest pada 2022, malangnya tidak dapat sampai puncak Everest sebab cuaca buruk sebelum ia ditangguhkan pada tahun ini.

"Muhammad Hawari juga pernah cakap pada saya akan menjalani latihan dengannya dan jika saya yakin dengan kemampuan diri itu yang akan membantu menjayakan ekspedisi dakian," katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Muhammad Hawari yang juga pendaki OKU dalam misi Malaysia Everest 2023 (ME2023) dilaporkan hilang selepas dilaporkan berjaya menawan Gunung Everest pada 19 Mei lalu.

Menurut Hui, kehilangan Muhammad Hawari itu mengejutkannya dan turut menyedihkan komuniti pekak termasuk dirinya selain sentiasa berharap supaya bapa kepada dua anak itu segera ditemui dan pulang ke tanah air.

"Muhammad Hawari menjadi inspirasi saya dan komuniti pekak, malah kejayaannya juga menggalakkan saya untuk menghadapi cabaran peribadi akan datang," katanya yang berkerja dalam bidang perakaunan dan berasal dari Johor.

Difahamkan, Hui adalah wanita pekak pertama negara yang mendaki dan menawan Annapurna Base Camp (ABC) setinggi 4,310 meter (m) dari aras laut dengan misi itu dilakukan bersama pasukan Kelab Ohana Adventure Sport pada 2019.

Kejayaan Hui itu diinpirasikan daripada kecekalan dan semangat Muhammad Hawari yang aktif melakukan aktiviti lasak walaupun berstatus OKU.

Mengimbas memori ketika berjaya menawan puncak ABC, Hui Xin berkata, Muhammad Hawari ketika itu baru mendarat di Kathmandu, Nepal untuk misi sama dan mereka hampir berjumpa, namun tidak jadi sebelum saling mengucapkan tahniah atas kejayaan itu.

Menurutnya, melihat kemampuan rakan OKU lain termasuk Muhammad Hawari melakukan aktiviti lasak hingga ada yang berupaya menempa nama, menaikkan semangatnya untuk melakukan perkara sama.

"Meskipun secara fisik pendaki mempunyai stamina, namun ia masih berisiko diserang akut gunung atau altitude mountain sickness (AMS) yang menyebabkan simptom pening, mual dan kehilangan koordinasi badan ketika di ketinggian 3,000 m.

"Justeru perjalanan ke ABC adalah sangat mencabar, bukan saja kerana kecuramannya, malah AMS juga boleh menjadi serius walaupun seseorang pendaki itu sudah membuat persiapan terbaik," katanya.

Menurutnya, puncak ABC menjadi pengalaman untuknya dan bersyukur dia dapat menjayakan misi itu biarpun menghadapi cabaran getir dalam perjalanan selama 11 hari.

"Ia pengalaman peribadi saya untuk pertama kali cuba membiasakan diri dengan kawasan beraltitud tinggi atau berdepan keadaan cuaca sejuk sehingga jatuh ke paras bawah kosong darjah Celsius dan itu sudah pasti menjadi cabaran dalam pendakian berkenaan.

"Selain itu, pendakian ke ABC yang sukar untuk dijangka perubahan iklim juga menjadi cabaran kepada kumpulan pendaki terutama apabila tiba di kem MBC (Machapuchare Base Camp) yang kadang-kadang bersalji," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 3:12 PM