Samadi Ahmad


“SAYA cuba buktikan golongan orang kurang upaya (OKU) juga mampu melakukan cabaran sukar,” kata pendaki OKU pekak dan bisu yang juga kakitangan Muzium Pulau Pinang, Muhammad Hawari Hashim, 29.

Bapa kepada seorang anak itu antara 21 pendaki berusia 20 hingga 60 tahun yang menyertai misi pendakian ke Annapurna Base Camp dan Poon Hill di Nepal bermula hari ini.

Ekspedisi pendakian membabitkan ketinggian 4,310 meter bersempena Hari Malaysia dan dijangka berakhir pada 19 September.

Muhammad Hawari berkata, dia berbangga kerana golongan OKU seperti dirinya turut terpilih dan diberi peluang bagi menyertai ekspedisi berkenaan yang menjadi impiannya selama ini.

“Justeru, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi ruang untuk saya menyertai ekspedisi ini terutama kepada pihak Muzium Pulau Pinang yang banyak memberi bantuan serta sokongan.

“Saya akan cuba membuktikan golongan OKU seperti diri saya mampu melakukan cabaran sukar seperti ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada perlepasan peserta misi pendakian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Hawari yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang berkata, dia sudah melakukan persediaan termasuk tahap kecergasan untuk menggalas impian bagi menyempurnakan misi pendakian berkenaan.

Katanya, selama empat bulan, dia mengikuti beberapa aktiviti pendakian sebagai persediaan seperti menyertai Cameron Ultra Marathon di Cameron Highlands, Pahang selain mendaki Gunung Pulut dan Bukit Larut, Perak dan Gunung Rinjani, Indonesia.

Selain itu, dia berkata, faktor cuaca sejuk menjadi halangan ketika pendakian di sana nanti sekaligus berharap, dapat menghadapi cabaran itu dengan baik.

Sementara itu, Ketua Ekspedisi Annapurna Base Camp dan Poon Hill di Nepal, Azim Afif Ishak, 30, berkata, setakat ini semua pendaki sudah melakukan persiapan fizikal dan mental termasuk latihan mendaki menara TM setinggi 59 tingkat selain gunung di dalam dan luar negara.

Katanya pada masa sama, penyertaan Muhammad Hawari juga adalah satu daripada persediaan sebelum menyertai Misi Wawasan Everest 2020 pada tahun depan.

“Sekiranya berjaya, dia akan menjadi OKU pertama pekak dan bisu negara ini yang berjaya sampai ke Annapurna Base Camp dan Poon Hill.

“Halangan antara peserta lain dengan Muhammad Hawari adalah dari segi komunikasi, namun kita boleh menggunakan tulisan untuk berhubung dan memberi arahan kepadanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 5:40 PM
AZIM (empat kanan) beramah mesra dengan Muhammad Hawari (enam dari kiri) dan peserta lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
AZIM (empat kanan) beramah mesra dengan Muhammad Hawari (enam dari kiri) dan peserta lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor