Datuk Adnan Mat. FOTO Bernama.
Datuk Adnan Mat. FOTO Bernama.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kesal dengan tindakan kerajaan Selangor yang membatalkan Dasar Pelantikan Tetap Penjawat Awam Bertaraf Kontrak yang berkhidmat lebih 15 tahun.

Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat berkata, lebih mengecewakan apabila kerajaan negeri itu turut memanjangkan pembatalan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri berkuat kuasa serta-merta.

"Untuk makluman, kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini memutuskan bahawa pegawai lantikan secara kontrak perkhidmatan (Contract of Service) yang berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun boleh dilantik secara tetap mulai 1 Julai 2016 tertakluk memenuhi syarat ditetapkan.

"Surat edaran JPA berhubung panduan pengambilan pegawai lantikan kontrak untuk tujuan pelantikan tetap sudah diedarkan kepada semua kementerian dan kerajaan negeri.

"Perkara ini disambut baik oleh semua kementerian dan kerajaan negeri dan ia diguna pakai sebagai panduan dalam urusan untuk melantik kakitangan kontrak kepada jawatan tetap," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adnan berkata, Cuepacs difahamkan bahawa kerajaan Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bertarikh 20 Julai 2016 bersetuju untuk mengguna pakai surat edaran JPA itu bagi tujuan lantikan tetap.

Katanya, perkara itu amat mendukacitakan Cuepacs dan seluruh warga perkhidmatan awam di Selangor apabila kerajaan negeri membuat keputusan yang begitu drastik.

"Keputusan kerajaan Selangor seakan-akan tidak menghargai langsung segala sumbangan kakitangan kontrak yang bertungkus lumus selama ini.

"Agak malang bagi penjawat awam di Selangor ini apabila berkhidmat lebih 15 tahun tetapi hanya layak diberi jawatan secara kontrak sahaja," katanya.

Beliau berkata, Cuepacs berharap Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dapat mempertimbangkan semula keputusan itu kerana ia memberi gambaran bahawa kerajaannya tidak cakna dengan kebajikan penjawat awam.

"Pada masa sama, Cuepacs menggesa kerajaan untuk menyerap pekerja MySTEP (Malaysia Short-Term Employment Programme) ke jawatan Contract of Service berbanding terus menawarkan pekerja terbabit dengan skim sama secara berulang-ulang melebihi setahun.

"Cuepacs dimaklumkan terdapat jabatan kerajaan yang menggunakan kakitangan MySTEP untuk tugas yang sama lebih daripada setahun," katanya.

Katanya, pengambilan pekerja MySTEP sebenarnya dibuka bagi menyediakan peluang pekerjaan jangka pendek sahaja.

"Sekiranya jawatan MySTEP ditawarkan untuk tempoh lebih daripada setahun, ia membawa maksud bahawa tugas itu perlu diisi dengan kakitangan dalam kalangan Contract of Service.

"Situasi ini menggambarkan kelemahan ketua jabatan dalam menilai keperluan perjawatan di jabatan masing-masing selain bersifat mengambil kesempatan ke atas pekerja MySTEP," katanya.

Katanya, pekerja MySTEP dibayar dengan gaji tanpa sebarang elaun tambahan dan tidak boleh membuat sebarang tuntutan walaupun dikerah sama seperti pekerja Contract of Service.

"Lebih malang lagi ada pekerja yang telah berada dalam skim Contract of Service telah ditukarkan kepada lantikan MySTEP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 4:38 PM