FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan Johor bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Hari Raya Aidilfitri 2022 sebanyak setengah bulan gaji, atau minimum RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani berkata, pemberian itu diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, pada Rabu lalu.

"Pemberian Bantuan Khas Kewangan turut disalurkan kepada kakitangan di bawah Skim Contract Of Service, Contract For Service, pegawai sambilan harian serta lantikan di bawah MySTEP.

"Bantuan Khas Kewangan ini juga akan membabitkan peruntukan kewangan sebanyak RM18.81 juta dan diberikan kepada kira-kira 13,400 kakitangan awam di Negeri Johor.

"Pemberian Bantuan Khas Kewangan ini adalah keprihatinan Kerajaan Johor bagi meringankan beban kewangan penjawat awam negeri sempena menyambut ketibaan lebaran tahun ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azmi berkata, pembayaran Bantuan Khas Kewangan ini akan dibuat pada 28 April nanti.

"Semakan kelayakan bayaran Bantuan Khas Kewangan boleh dirujuk melalui Pekeliling Perkhidmatan Negeri Johor Bilangan 1 Tahun 2022," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 9:43 AM