GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kerajaan Perak mengumumkan bantuan khas sempena Aidilfitri sebanyak RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri ini, selain buat julung kalinya menyalurkan bantuan khas RM500 kepada semua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Perak.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, turut menerima bantuan khas RM1,000 adalah Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), guru i'dadi, guru thanawi, guru tadika Islam, Orang Besar Jajahan, pegawai sambilan harian dan Tok Batin.

Katanya, bantuan RM1,000 diberikan kepada seluruh penjawat awam Perak bagi semua gred perjawatan termasuk kakitangan di bawah skim Contract Of Service dan Contract For Service yang bakal memanfaatkan seramai 7,907 penjawat awam negeri membabitkan peruntukan sebanyak RM7.9 juta.

"Pembayaran akan dibuat pada 25 April ini iaitu bersama dengan pembayaran gaji bagi April. Buat julung kalinya, bantuan khas Aidilfitri ini akan turut disalurkan kepada bekas Adun dengan kadar RM500 seorang.

"Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam memikul tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat," katanya menerusi kenyataan hari ini

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 4:34 PM