Asrol Awang


“KEKUATAN saya adalah dorongan dan sokongan daripada guru serta rakan yang banyak membantu memberi motivasi kepada saya,” kata Maizatul Akmal Mahat, 18.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur, Kuantan itu berdepan pelbagai ujian sebelum memperoleh keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 yang diumumkan minggu lalu.

Pada mulanya, Maizatul Akmal diuji dengan kehilangan abang pada 2010, diikuti ibu, Salmah Mohd pada 2015, manakala bapanya Mahat Muda turut meninggalkannya awal lalu penyakit angin ahmar.

Ujiannya tidak berhenti di situ apabila terbabit kemalangan ketika menduduki peperiksaan SPM.

Keadaan itu memaksanya menjawab kertas soalan Matematik di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Disember tahun lalu.

“Tanpa mereka, saya pasti sukar untuk melalui keadaan ini bersendirian selepas kehilangan abang, ibu dan ayah.

“Saya amat terhutang budi kepada guru dan rakan yang banyak membantunya hingga mendapat keputusan cemerlang,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui media pada majlis penyerahan pencen penakat oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di SMK Tanjung Lumpur, Kuanta, hari ini. Pada majlis itu, Ketua Cawangan Faedah, Bahagian Faedah Perkeso, Ismail Abi Hashim menyampaikan cek berjumlah RM25,117.28 hasil caruman Perkeso Allahyarham ibu dan ayah Maizatul Akmal.

MAIZATUL Akmal menunjukkan slip keputusan SPM.dan replika cek yang diterima dari Perkeso. FOTO Asrol Awang.
MAIZATUL Akmal menunjukkan slip keputusan SPM.dan replika cek yang diterima dari Perkeso. FOTO Asrol Awang.

Dia turut menerima pencen bulanan berjumlah RM285 daripada Perkeso sehingga tamat pengajian ijazah pertama.

Katanya, kematian abang dan ibunya tidak mematahkan semangat belajar, sebaliknya menjadi pendorong demi memastikannya mendapat keputusan cemerlang demi masa depan.

“Ayah saya seorang pemandu lori, dan dia bekerja keras untuk kami berdua, jadi saya belajar bersungguh-sungguh supaya hidup kami lebih baik.

“Namun, kini ayah juga sudah tiada,” katanya yang meminati bidang perubatan.

Sementara itu, Ismail berkata, bayaran RM25,117.28 itu diberikan selepas skuad Prihatin Perkeso melakukan semakan caruman ibu bapa Maizatul Akmal.

“Melalui skuad ini, Perkeso sentiasa berusaha mengambil tindakan proaktif dan segera bagi setiap kes yang layak mendapat faedah.

“Perkeso Pahang turut menjadikan Maizatul Akmal sebagai ‘anak angkat’, dan kami akan memantau perkembangan sepanjang pengajian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 4:54 PM