NUR Alia Fitri  menunjukkan keputusan  Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada ibunya Rosmawati Ahmad. FOTO Bernama
NUR Alia Fitri menunjukkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada ibunya Rosmawati Ahmad. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuching: Keputusan Nur Alia Fitri Allhadi mengikut jejak langkah kakaknya untuk memasuki Sekolah Seni Malaysia Sarawak berikutan minatnya terhadap bidang grafik membuahkan hasil apabila beliau berjaya melakar semua A bagi 11 subjek yang diambilnya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Biarpun pernah menerima kritikan dalam kalangan ahli keluarga dan rakannya yang mempersoalkan keputusannya memilih sekolah seni sewaktu memasuki tingkatan satu, anak bongsu daripada empat beradik itu membuktikan keputusannya tepat dengan memperoleh 8A+, 2A dan 1A- dalam peperiksaan itu.

"Saya mahu membuktikan aliran seni visual duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan aliran lain, mengambil kira kepentingan industri berkaitan seni kepada pembangunan negara serta dunia teknologi masa kini," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2022 di sini, hari ini.

Dengan kebolehannya menggunakan perisian seperti Canva, Adobe Illustrator dan Adobe Photoshop yang dipelajarinya sewaktu di sekolah itu, Nur Alia Fitri telah memanfaatkan ilmu yang diperolehnya itu untuk menjana pendapatan sampingan.

"Kini, saya dapat menjana pendapatan sampingan dengan mengambil upah mereka grafik serta menjual hasil seni saya," katanya yang bercadang untuk melanjutkan pelajaran di Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi menunaikan harapan orang tuanya untuk menjadi warga pendidik, khususnya bagi mata pelajaran Seni Visual.

Menceritakan cabaran menghadapi SPM, Nur Alia Fitri berkata kekurangan pengalaman menduduki peperiksaan awam berikutan pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada tahun lepas, menjadi antara faktor yang menguji kesiapsiagaan mentalnya bagi mendepani peperiksaan berkenaan.

"Sewaktu di tingkatan tiga, saya sepatutnya mengambil PT3 tetapi ia dimansuhkan jadi peperiksaan awam yang terakhir saya duduki ialah Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan terus kepada SPM," katanya yang turut merasai suasana Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan wabak Covid-19 yang melanda negara.

Dalam pada itu, Kevin Tang Siok Kai dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bintulu yang juga antara 74 calon berkeperluan pendidikan khas di negeri ini yang layak menerima sijil SPM, tidak menyangka meraih keputusan 7A dan 4B.

Menggemari subjek Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni Visual, calon aliran sains yang mempunyai masalah pembelajaran atau lembam itu menanam impian untuk bergelar guru Bahasa Melayu suatu hari nanti dan mahu melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Sarawak.

"Saya berterima kasih kepada guru-guru saya kerana tidak berputus asa untuk mengajar pelajar seperti saya dan mereka ada menggunakan gelombang bunyi sebagai antara kaedah pembelajaran," katanya yang menggunakan aktiviti melukis sebagai eskapisme sekiranya tertekan ketika belajar bagi mendepani SPM.

Ibunya Carina Wong, 48, berkata Kevin mempunyai masalah untuk memahami topik yang diajar menerusi PdPR, oleh itu beliau membuat keputusan untuk menghantarnya ke pusat tuisyen selain memberikan kata-kata motivasi agar tidak berputus asa dalam pembelajaran.

Secara keseluruhan, Sarawak mencatatkan 29,929 pelajar atau 91.22 peratus calon layak menerima sijil SPM 2022 dengan seramai 684 calon mendapat gred A bagi kesemua mata pelajaran, manakala Gred Purata Negeri (GPN) pula ialah 5.07.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 10:37 PM