TASK Force PDRM dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah melaksanakan lima operasi.
TASK Force PDRM dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah melaksanakan lima operasi.
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: "Jika ada tawaran peluang kerja di luar negara, sila waspada terutama apabila dijanjikan gaji banyak, komisyen, tiket kapal terbang, cuti dan makan percuma kerana ia hanya taktik sindiket penipuan kerja," kata mangsa penipuan tawaran kerja di Kemboja yang diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mangsa berkongsi pengalamannya itu dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang memuat naik video pengakuan berkenaan di Facebook JSJ.

Lelaki itu berkata, ketika berada di Kemboja, setiap hari, dia dipaksa menipu malah dia juga bimbang tidak dapat pulang semula ke Malaysia.

"Satu perasaan sahaja yang akan timbul apabila pergi ke sana iaitu rasa menyesal, tetapi segala-galanya sudah terlewat," katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, setakat ini, pihaknya menerima 238 laporan polis membabitkan 356 mangsa yang mana 107 masih terkandas di Kemboja manakala 249 berjaya diselamatkan.

Menurutnya, D3 melalui Task Force PDRM dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah melaksanakan lima operasi di sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan, Johor dan Perak.

"Dalam operasi itu, beberapa suspek ditahan untuk membantu siasatan. Kita percaya taktik digunakan sindiket ini adalah sama.

"Orang ramai dinasihatkan melakukan semakan jika menerima tawaran seperti ini. Pastikan ia sahih selain perjalanan melalui pintu laluan yang sah kerana dalam kebanyakan kes, ia melalui laluan tidak sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 7:15 AM