T RAVICHANDRAN ketika muncul dalam satu program televisyen. FOTO Instagram T Ravichandran
T RAVICHANDRAN ketika muncul dalam satu program televisyen. FOTO Instagram T Ravichandran
Iylia Marsha Iskandar


Kuala Lumpur: Pendaki negara yang terselamat dari 'zon kematian' di Gunung Everest , T Ravichandran menzahirkan terima kasih kepada sherpa Nepal yang menyelamatkannya.

Menerusi hantaran Instagram (IG), Ravichandran, 58, atau lebih dikenali sebagai Ravi Everest melahirkan rasa terima kasih kepada sherpa dari The 14th Peaks Expedition dan Global Rescue kerana menyelamatkan nyawanya.

"Seberapa penting pasukan penyelamat dan penyelamat helikopter dalam ekspedisi Everest? Percayalah, ia sangat penting.

"Saya masih hidup hari ini kerana saya mempunyai rakan kongsi yang terbaik dan berdedikasi - The 14th Peaks Expedition yang diketuai oleh Tashi Sherpa (dan sherpanya - Mingman Tendi, Genge Sherpa, Nima Dorjee, Dawa, Nima Tashi, Dipen Bhote dan Global Rescue.

"Everest pada tahun sebelum ini terutamanya 2022 adalah baik tetapi pada tahun ini, ia sukar dan meragut banyak nyawa," kata pendaki yang pernah menawan puncak tertinggi di dunia itu sebanyak tiga kali.

Sebelum ini, ada dakwaan daripada segelintir netizen mendakwa Ravichandran menyekat penyelamatnya Gelje Sherpa di media sosial.

Ada juga komen yang mengatakan bahawa Ravichandran tidak mengucapkan terima kasihnya terhadap sherpa berkenaan.

Gelje Sherpa, 30, sedang membimbing pendaki China ke puncak Everest yang ketinggiannya 8,849 meter pada 18 Mei lalu apabila melihat Ravichandran berpaut pada tali dan menggigil akibat kesejukan melampau di kawasan dipanggil 'zon kematian' di mana suhu boleh menurun. hingga -30 darjah Celsius atau lebih rendah.

Gelje menariknya 600 meter ke bawah dari kawasan dikenali sebagai 'balkoni' ke Col Selatan, dalam tempoh kira-kira enam jam, di mana seorang lagi malim gunung, Nima Tahi Sherpa, menyertai penyelamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 3:28 PM