Oleh Norzamira Che Noh


Klang: Empat lelaki, termasuk tiga pelajar sekolah, dihadapkan ke Mahkamah Majistret dekat sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang warga emas dipercayai gelandangan pada Mei lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Chan Jia Jing, 19, dan tiga remaja berusia 16 tahun, tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret P Sarulatha.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa secara sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang lelaki berusia 67 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di kaki lima sebuah pasar raya di Jalan Lebuh Berangan, Pelabuhan Klang, kira-kira jam 3.30 pagi, 8 Mei lalu.

Pendakwaan kes dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Jannah Aimi dan menawarkan ikat jamin berjumlah RM4,000 dan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa.

Peguam, Tham Weng Kin bagaimanapun memohon pengurangan jumlah ikat jamin kerana anak guamnya masih dalam tanggungan keluarga.

Sarulatha kemudian membenarkan ikat jamin RM2,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan sebutan semula kes pada 28 Julai ini.

Dalam pada itu, keempat-empat tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di sekitar Pandamaran di sini, kira-kira jam 1.10 tengah hari, hari yang sama.

Pendakwaan kes mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan, empat remaja lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes memukul seorang lelaki dipercayai gelandangan.

Kesemua suspek ditahan di sekitar daerah ini dan Shah Alam antara jam 3 pagi, pada Isnin lalu hingga jam 9.50 malam kelmarin.

Terdahulu, tular beberapa video memaparkan empat lelaki disyaki warga tempatan menaiki sebuah kereta dan mangsa dipukul dengan besi pemukul besbol.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 3:54 PM
Empat lelaki termasuk tiga remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Klang hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki warga emas pada Mei lalu. FOTO FAIZ ANUAR
Empat lelaki termasuk tiga remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Klang hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki warga emas pada Mei lalu. FOTO FAIZ ANUAR