Siti Rohana Idris


Kota Bharu: "Ketika dalam perjalanan pulang dari kedai makan, saya ternampak cahaya merah dalam jarak 500 meter seakan berlaku kebakaran dan tidak menyangka rumah yang kami diami sedang terbakar," kata Mohd Khairi Awang Seman.

Mohd Khairi, 41, berkata, ketika hampir sampai di rumah jam 8.45 malam tadi, dia terserempak dengan seorang jemaah masjid yang memberitahu rumah yang dia dan adiknya duduki di Kampung Lubok Jambu, di sini, sedang terbakar.

"Saya terus memecut motosikal dan sebaik tiba, sebahagian rumah sudah terbakar dan mencari kelibat adik (Mohd Khaidir, 38) kerana bimbang dia berada dalam rumah.

"Nasib baik ketika kejadian dia berada di surau dan kami hanya mampu melihat rumah terbakar tanpa dapat menyelamatkan apa-apa barangan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Khairi berkata, mereka tidak menyangka rumah yang baru lima tahun dibina itu akan terbakar memandangkan ketika dia dan adiknya keluar, semuanya dalam keadaan baik.

Katanya lagi, rumah itu dibina dalam perkarangan kediaman milik seorang saudara mereka dan dalam masa yang sama menjaga rumah terbabit memandangkan pemiliknya tidak menetap di situ dan hanya pulang sesekali sahaja.

"Nasib baik kebakaran berlaku ketika kami berdua tiada di rumah tapi rasa sedih kerana sudah lima tahun kami menetap di sini dalam masa yang sama simpati dengan kerugian yang ditanggung waris," katanya.

Kebakaran sebanyak 80 peratus itu membabitkan rumah struktur kayu yang dihuni dua beradik terbabit serta garaj kereta di bahagian bawah.

Pemilik rumah, Norsharinawati Shabudin, 42, berkata, mereka sekeluarga menetap di Setia Alam, Selangor sejak lima tahun lalu kerana dia berpindah tempat kerja di Institut Kesihatan Negara (NIH) di sana.

Menurutnya lagi, mereka hanya pulang seminggu atau dua minggu sekali ke Kelantan dan ketika dimaklumkan mengenai kebakaran itu malam tadi, dia dan keluarga sedang berada di kedai makan.

"Rasa seperti pitam sebaik diberitahu rumah terbakar dan Allah sahaja yang tahu perasaan saya kerana dapat bayangkan keseluruhan rumah terbakar.

"Kami bertolak pulang ke sini jam 11 malam tadi dan dalam perjalanan, ahli keluarga menghubungi dan memaklumkan hanya rumah bersebelahan dan garaj kereta yang terbakar.

"Berita itu melegakan namun dalam masa yang sama tetap menyedihkan kerana kami berdepan kerugian lebih RM250,000 disebabkan kebakaran itu... apapun kami terima dengan reda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 1:09 PM
Norsharinawati dan suaminya, Mohd Shukri Muhammad melihat keadaan rumah mereka yang musnah 80 peratus dalam kebakaran di Kampung Lubok Jambu, di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Norsharinawati dan suaminya, Mohd Shukri Muhammad melihat keadaan rumah mereka yang musnah 80 peratus dalam kebakaran di Kampung Lubok Jambu, di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS