Seorang penjaga rumah penjagaan orang kurang upaya (OKU) melecur 30 peratus selepas premis di berkenaan terbakar dalam kejadian di Jalan Ahad, Kampung Ungku Mohsin di sini, pagi tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Seorang penjaga rumah penjagaan orang kurang upaya (OKU) melecur 30 peratus selepas premis di berkenaan terbakar dalam kejadian di Jalan Ahad, Kampung Ungku Mohsin di sini, pagi tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Semua 10 penghuni warga emas cacat penglihatan tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran hari ini," kata Pengelola Persatuan Orang Cacat Johor Bahru, Norrafita Jamalludin.

Norrafita berkata, kejadian 7.50 pagi itu dipercayai berlaku apabila seorang daripada penjaga rumah yang beroperasi di Jalan Ahad, Kampung Ungku Mohsin di sini terlupa menutup api dapur gas selepas menyediakan sarapan pagi.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, penjaga berkenaan yang berusia 64 tahun melecur di beberapa bahagian tubuh serta sedang dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

"Nasib baik ketika kejadian hanya empat penghuni berada di dalam rumah dan berjaya menyelamatkan diri, manakala enam lagi berada di luar.

"Kami difahamkan penjaga berkenaan memasak jemput-jemput namun terlupa menutup dapur gas selepas selesai memasak," katanya.

Menurutnya, penghuni kini buntu kerana kehilangan tempat tinggal selain barangan seperti pakaian, bekalan makanan selain dokumen peribadi turut terbakar.

Norrafita berkata, kebanyakan mereka adalah golongan yang tidak bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan dan bantuan berkenaan juga digunakan bagi membiayai kos ubat.

"Buat masa ini, atas kerelaan sendiri, kami sebagai pengurusan persatuan masing-masing memberi perlindungan sementara dengan membawa pulang ke rumah bagi mengelakkan mereka hidup bergelandangan.

"Kami hanya mampu memberi perlindungan sementara dan harap rumah persatuan berkenaan dapat dibaik pulih dalam tempoh terdekat.

"Kos baik pulih dianggarkan mencecah RM200,000 dan berharap dapat mengumpul dana mencukupi," katanya.

Norrafita berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan termasuk pakaian dewasa bagi penghuni berkenaan.

"Bagi menyalurkan sumbangan orang ramai boleh menghubungi talian 011-1773 1749 atau menerusi akaun persatuan di CIMB 8009753735 ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 2:43 PM