Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Shah Alam: Karnival Jom Heboh (KJH) yang diadakan di empat negeri selepas ini bakal menampilkan pertandingan Cosplay selepas menerima sambutan yang menggalakkan daripada peminat anime di lokasi pertama Dataran Karnival, Stadium Shah Alam.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Nini Yusof berkata, empat negeri yang akan dianjurkan KJH selepas ini ialah Kelantan, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak.

"Bila kita tengok pertandingan Cosplay ini menarik perhatian ramai, kita akan ada pertandingan kostum di setiap lokasi (selepas ini)," katanya selepas upacara memotong kek sempena sambutan ke-39 TV3, hari ini.

Upacara memotong kek itu dihadiri Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarah Urusan Kumpulan MPB Rafiq Razali dan Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Mohd Efendi Omar.

Turut hadir, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran dan Ketua Pegawai Eksekutif WOWShop, Datin Norashikin Habibur Rahman.

Nini dalam pada itu turut menyatakan bahawa pihaknya mahu membawa industri anime ke arus perdana di negara ini.

Katanya, ini kerana pihaknya merasakan anime adalah sebuah industri yang besar dan ramai rakyat negara ini terbabit di belakang tabir.

"Kita nak perkembangkan supaya orang ramai tahu kerjaya animasi ini mempunyai banyak peluang.

"Sebagai contoh kalau dilihat Ejen Ali, ia adalah satu produksi yang bagus setaraf dengan animasi antarabangsa," katanya.

Dalam pada itu, Nini memaklumkan pihaknya juga akan turut mencari bakat baru untuk pembaca berita di empat negeri yang akan dikunjungi selepas ini.

"Sesiapa yang berminat untuk membaca berita, boleh datang ke Jom Heboh. Selain pembaca berita, kita juga nakkan hos rancangan hiburan dan rancangan sukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 7:23 PM
SYED Hussian (empat dari kiri) bersama Rafiq (dua dari kiri), Ahmad Zaini (kiri) dan Nini (kanan) memotong kek dan pulut kuning bersempena sambutan ke -39 tahun TV3 di KJH di Dataran Karnival Stadium Shah Alam. FOTO Asyraf Hamzah
SYED Hussian (empat dari kiri) bersama Rafiq (dua dari kiri), Ahmad Zaini (kiri) dan Nini (kanan) memotong kek dan pulut kuning bersempena sambutan ke -39 tahun TV3 di KJH di Dataran Karnival Stadium Shah Alam. FOTO Asyraf Hamzah