KETUA Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin. FOTO Arkib NSTP.
KETUA Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin. FOTO Arkib NSTP.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis sudah membuka kertas siasatan dan sedang mengesan suspek yang menghantar surat ugutan kepada Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin.

Khaw berkata, ugutan dan ancaman sebegitu adalah perkara lumrah dan sentiasa dihadapi pihak polis dalam melaksana tugas membanteras aktiviti haram oleh mana-mana pihak ataupun sindiket haram.

"Sebagai Ketua Polis Pulau Pinang, saya dan seluruh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang tidak akan kompromi atau bersekongkol dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti haram.

"Kita juga tidak akan tunduk kepada mana-mana ancaman atau ugutan, sebaliknya akan terus mengambil tindakan yang lagi (lebih) tegas terhadap mereka yang mengugut atau mengancam saya atau PDRM Pulau Pinang," katanya malam ini.

Menurutnya, polis sudah menjalankan siasatan dan usaha mengenal pasti suspek dan menahannya sedang dijalankan.

Terdahulu, tular laporan polis berhubung ancaman diterima Ketua Polis Pulau Pinang melalui sampul surat yang ditujukan kepada beliau.

Surat dipercayai daripada geng Along yang ingin menyimbah cat, asid dan menembaknya jika beliau enggan bekerjasama dengan mereka.

Ia diterima pada 11 pagi kelmarin ketika kakitangannya berada di Pejabat Pendaftaran Sulit Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 9:07 PM