NGA Kor Ming (kanan) beramah mesra bersama peniaga ketika membuat lawatan kerja di Pasar Awam Sekinchan hari ini. FOTO Bernama
NGA Kor Ming (kanan) beramah mesra bersama peniaga ketika membuat lawatan kerja di Pasar Awam Sekinchan hari ini. FOTO Bernama
Amirul Aiman Hamsuddin


Sekinchan: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan RM2.52 juta untuk sembilan projek naik taraf dan selenggara infrastruktur awam di Sekinchan hari ini, termasuk RM953,000 bagi membaik pulih serta membina infrastruktur enam Kampung Baru Cina di sekitar daerah ini.

Perkara itu diumumkan Menterinya, Nga Kor Ming semasa lawatannya ke Pasar Awam Sekinchan dekat sini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan Ng Suee Lim, Adun Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail dan Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) Azman Dahlan.

Beliau berkata, projek menaik taraf longkang utama di Jalan Bernam membabitkan kos RM800,000 dengan longkang sedia ada akan ditukar daripada 0.9 meter kepada 2.4 meter.

"Projek ini membabitkan longkang utama sepanjang 300 meter kerana tahun lalu, kawasan terbabit dilanda banjir kilat.

"Sekiranya projek ini siap, saya jangka masalah sama tidak akan berulang kembali," katanya.

Beliau turut mengumumkan perbelanjaan RM480,000 untuk naik taraf bumbung gerai penjaja Pasar Awam Sekinchan yang masih mengekalkan reka bentuk asal sejak 38 tahun lalu.

Selain itu, perbelanjaan RM290,000 untuk pemasangan papan iklan lampu diod pemancar cahaya (LED) di pekan Sekinchan.

"Kesemua peruntukan ini bagi memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT terhadap kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan.

"KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) akan sentiasa bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara bagi merealisasikan perancangan pembangunan demi meningkatkan mutu perkhidmatan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 1:47 PM