INSIDEN pergaduhan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) 22 Mei lalu. FOTO tular.
INSIDEN pergaduhan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) 22 Mei lalu. FOTO tular.
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Polis menahan dua lelaki selepas disyaki terbabit dalam insiden pergaduhan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, 22 Mei lalu.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang, suspek berkenaan yang juga penunggang motosikal warga tempatan dan bekerja di Singapura, bergaduh sesama sendiri selepas motosikal mereka bergesel di bangunan itu dari arah Singapura masuk ke Malaysia.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, selepas cabar mencabar, kedua-dua suspek bergerak ke arah luar bangunan dan kemudian mula bertumbuk.

"Kejadian ini berpunca apabila seorang daripada mereka yang berada di belakang tergesel motosikal seorang lagi suspek ketika mereka lalu di laluan motosikal CIQ, BSI.

"Akibat tidak berpuas hati, berlaku cabar mencabar antara mereka berdua yang kemudian ajak bergaduh di luar daripada laluan motosikal itu.

"Tiba di luar (bangunan), mereka mula bertumbuk seperti yang boleh disaksikan dalam video tular," katanya ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek pertama berusia 27 tahun kini masih dalam tahanan reman selama empat hari sehingga esok.

Katanya, suspek pertama mempunyai dua rekod lampau kes dadah dan ketika ditahan juga mendapati dia positif ganja.

"Semalam, seorang lagi suspek berusia 34 tahun ditahan di sekitar daerah ini dan perintah remannya akan dipohon hari ini," katanya.

Menurut Raub, tiada kecederaan dilaporkan ketika kejadian, namun terdapat penggunaan senjata ketika itu dan polis menyiasat kes mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 14 saat di laman sosial media yang memaparkan pergaduhan di laluan keluar motosikal dari BSI membabitkan dua penunggang motosikal sambil dihalang penunggang motosikal yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 10:24 AM