GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Seorang kanak-kanak perempuan dikejarkan ke hospital untuk dirawat selepas mengalami simptom sesak nafas selepas termakan biskut yang dibuat oleh bapanya yang disyaki dicampur dengan ganja dalam kejadian di Lawin, Gerik, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, laporan polis berhubung kejadian diterima daripada pembantu perubatan Klinik Kesihatan Lawin kira-kira 10.26 malam tadi berkaitan kanak-kanak berusia 11 tahun itu yang mengalami sesak nafas, pening dan loya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa termakan biskut yang disyaki dicampur dengan ganja yang dibuat oleh oleh bapa kanak-kanak itu yang juga seorang penoreh getah.

Katanya, susulan itu bapa kanak-kanak berkenaan ditahan reman selama lima hari bermula hari ini sehingga Sabtu ini.

"Saringan ujian awal air kencing mendapati suspek berusia 38 tahun itu positif dadah tetrahydrocannabinol (THC).

"Selepas dirujuk ke klinik kesihatan, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Gerik dan dirujuk ke Hospital Taiping untuk pemeriksaan dan rawatan selanjutnya," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 12:44 PM