Perbuatan lelaki memecah masuk surau Al Kausar Blok 1B, Rawang dan mencuri penyedut hampagas dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Perbuatan lelaki memecah masuk surau Al Kausar Blok 1B, Rawang dan mencuri penyedut hampagas dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


Rawang: Kelibat dua lelaki memecah masuk Surau Al Kausar, Blok 1B, Bandar Tasik Puteri, di sini, dan mencuri penyedut hampagas berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) selepas cubaan mereka memecah tabung surau itu gagal.

Pengerusi surau terbabit, Mohd Zaini Hasbulah berkata, kejadian itu hanya disedari kelmarin ketika mereka ingin menggunakan penyedut hampagas untuk membersihkan surau pada jam 8 pagi.

Menurutnya, dia ada bertanya kepada ahli jawatankuasa surau di mana penyedut hampagas disimpan namun mereka juga tidak tahu.

Katanya, selepas mencari di merata tempat termasuk di stor, mereka akhirnya memeriksa CCTV.

"Selepas diperiksa, kami dapati dua lelaki memecah masuk surau ini pada jam 3.50 pagi, 22 Mei lalu.

"Mereka didapati cuba mengumpil peti tabung surau namun gagal dan kemudian mengambil penyedut hampagas terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaini berkata, pihaknya tidak sangka penyedut hampagas itu dicuri sedangkan selama ini mereka menyimpannya di sudut tepi surau.

Katanya, pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung kecurian terbabit untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 3:14 PM