GAMBAR fail. FOTO Arkib  NSTP
GAMBAR fail. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Monaco dan Jordan untuk lawatan khas ke kedua-dua negara bermula semalam hingga 2 Jun.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata lawatan khas ke Monaco selama empat hari sehingga 29 Mei adalah atas persilaan Putera Monaco Putera Albert II.

Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat mengadakan pertemuan dengan Putera Albert II di Palace of Monaco hari ini.

"Pada 28 Mei, Seri Paduka dijadualkan berangkat ke Majlis Santapan Tengah Hari bersama Putera Albert II dan kerabat diraja Monaco di Heracles Palace disusuli dengan keberangkatan ke Monaco Formula 1 Main Circuit pada sebelah petang," menurutnya dalam kenyataan semalam.

Bagi lawatan khas ke Jordan pula, Seri Paduka dijadualkan berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia, Amman pada 30 Mei.

Lawatan itu adalah atas persilaan Raja Jordan Raja Abdullah II dan kedua-dua pemimpin dijadualkan mengadakan pertemuan pada 31 Mei.

Seri Paduka dijadualkan berangkat menghadiri Majlis Perkahwinan Diraja Putera Mahkota Jordan di Zahran Palace pada petang 1 Jun disusuli dengan keberangkatan ke Majlis Jamuan Sambutan Perkahwinan Diraja di Al Husseinieh Palace di Amman pada sebelah malam.

Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 2 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 6:23 PM