Raja Noraina Raja Rahim


Kajang: Sebanyak 15 premis yang pernah diserbu kerana menjalankan kegiatan perjudian di daerah ini dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) semalam dan hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pemotongan bekalan elektrik itu dibuat di Taman Restu, Taman Kajang Prima, Taman Kajang Utama, Semenyih dan Bandar Baru Bangi bermula jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari.

"Kesemua premis berkenaan sebelum ini pernah diserbu kerana menjalankan aktiviti perjudian haram.

"Tindakan diambil mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum itu, media dibawa mengikuti operasi pemotongan bekalan elektrik di tiga premis berasingan di Taman Restu dan Taman Kajang Prima di sini, bagi mengelak premis terbabit aktif semula menjalankan aktiviti haram itu.

Mohd Zaid berkata, sebanyak 150 serbuan dilakukan dan daripada jumlah itu, 141 kes sudah didakwa di mahkamah serta 11 tindakan pemotongan bekalan elektrik dilakukan TNB, sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga hari ini, sebanyak 26 serbuan berjaya dijalankan ke atas premis perjudian dan daripada jumlah itu, sebanyak 23 didakwa di mahkamah manakala sebanyak 15 premis diambil tindakan pemotongan.

Selain itu, katanya, seramai 146 individu ditahan dan 287 mesin judi serta wang tunai RM9,745 dirampas polis dalam serbuan Op Dadu Khas sepanjang tahun lalu sehingga hari ini.

Beliau meminta orang ramai mempunyai maklumat berhubung aktiviti jenayah perjudian terutama di Kajang supaya tampil menyalurkannya kepada polis dengan menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 1:58 PM
TNB memotong bekalan elektrik di Premis Perjudian di Taman Restu, Kajang ketika Ops Potong Letrik dari Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang. FOTO Azhar Ramli
TNB memotong bekalan elektrik di Premis Perjudian di Taman Restu, Kajang ketika Ops Potong Letrik dari Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang. FOTO Azhar Ramli